JOHOR BAHRU – Pusat Penyembuhan, Rawatan dan Pemulihan (CCRC) Tampoi bakal dijadikan pusat rawatan penagih dadah yang menghidap penyakit mental.
Menurut Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah, ini ekoran kedudukan CCRC Tampoi yang terletak berdekatan dengan Hospital Permai yang mempunyai kepakaran dalam bidang psikiatri.
“Kita akan pusatkan (penagih dadah dengan masalah mental) di situ dari seluruh negara dan kita akan bina kepakaran (merawat pesakit psiakatri).
“Kita mempunyai hubungan baik dengan Kementerian Kesihatan dan akan terus bekerjasama menangani isu ini,” kata Zulkifli kepada wartawan selepas menghadiri Malam Apresiasi NGO dan Media AADK JOHOR 2018, di sini, malam tadi.
Tambahnya lagi, masalah mental dalam kalangan penagih dadah di Malaysia berpunca dari penyalahgunaan dadah jenis sintetik dalam kuantiti banyak dan dalam jangka masa yang lama.
“Kita juga dapati penyalahagunaan dadah (dalam negara) lebih kepada dadah jenis sintetik.
“(Kesan pengambilan) dadah jenis ini lebih serius sekiranya diambil dalam jumlah banyak dan berterusan, boleh mengakibatkan orang itu sakit mental,” katanya. – K! ONLINE










