Calon SPM maut ketika lintas jalan - Utusan Malaysia

Calon SPM maut ketika lintas jalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 1 Dis. – Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut dirempuh sebuah kereta ketika melintas jalan berhampiran Masjid Nilam Puri, di sini malam tadi.

Dalam kejadian pada pukul 11.30 malam itu, mangsa, Mohammad Nazif Mohd. Nazri yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kota mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, sebelum kejadian itu, sebuah kereta jenis Toyota Wish yang dipandu seorang wanita berusia 37 tahun datang dari arah Kota Bharu menghala ke Ketereh.

“Ketika tiba di lokasi kejadian berhampiran Masjid Nilam Puri, secara tiba-tiba mangsa yang selesai makan di Kedai Makan Yellow Bamboo Chicken Chop tersebut melintas jalan.

“Akibat jarak yang terlalu dekat, pemandu kereta itu tidak sempat menekan brek atau mengelak lalu melanggar mangsa,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Katanya, akibat kemalangan itu mangsa tercampak dan jatuh di bahu jalan serta meninggal dunia.

“Wanita tersebut dan suaminya yang berada di tempat duduk penumpang hadapan tidak mengalami sebarang kecederaan. Mayat dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian untuk bedah siasat.

“Polis masih menjalankan siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN