IPOH 29 Dis. – Calon DAP bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands akan diumumkan dalam masa terdekat.
Naib Pengerusi DAP, M. Kula Segaran berkata, pengumuman yang dijangka dibuat dalam tempoh 10 hari itu akan dilakukan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
“Kerusi di Cameron Highlands adalah kerusi DAP dan ia telah pun diputuskan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).
“Dari segi calon, kita akan putuskan tidak lama lagi dan ia (senarai calon) adalah di bawah bidang kuasa Setiausaha Agung. Saya percaya calon bagi kerusi ini akan diumumkan selepas perbincangan beliau dengan pihak berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengedarkan kalendar DAP Ipoh Barat 2019 di Pasar Kampung Tawas di sini hari ini.
Menurut Kula Segaran, beliau bersama Penasihat DAP, Lim Kit Siang akan ke Cameron Highlands esok untuk berjumpa penduduk di sana termasuk bertemu dengan masyarakat Orang Asli.
Katanya, kunjungan tersebut merupakan lawatan pertama mereka selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Mei lalu.
“Esok kita akan memulakan lawatan pertama ke Cameron Highlands dan kami akan berada di Ringlet pada pukul 10 pagi.
“Bakal-bakal calon DAP bagi kerusi tersebut mungkin ada di sana dan diharap warga Cameron Highlands dapat memberi sokongan kuat kepada PH untuk mengambil alih kerusi tersebut,” katanya.
PRK Parlimen Cameron Highlands diadakan susulan keputusan Mahkamah Tinggi membatalkan kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Datuk C. Sivarraajh pada PRU-14 ekoran berlakunya amalan rasuah di kawasan tersebut. – UTUSAN ONLINE










