Caj perkhidmatan Pesuruhjaya Sumpah naik selaras keperluan - Utusan Malaysia

Caj perkhidmatan Pesuruhjaya Sumpah naik selaras keperluan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Kenaikan caj perkhidmatan bagi pegawai Pesuruhjaya Sumpah adalah selaras dengan keperluan undang-undang semasa dan bagi menambah baik perkhidmatan Pesuruhjaya itu, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Datuk Liew Vui Keong berkata, kenaikan caj perkhidmatan itu adalah selepas Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan mendapatkan pandangan daripada semua pemegang taruh dalam usaha menambah baik perkhidmatan Pesuruhjaya itu.

“Sebelum 1 Mac, undang-undang yang menyelia Pesuruhjaya Sumpah adalah berdasarkan Kaedah-kaedah Pesuruhjaya Sumpah 1993. Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan telah berbincang dengan pihak-pihak berkaitan dalam usaha menambah baik perkhidmatan Pesuruhjaya itu.

“Bagi memperkasa Pesuruhjaya Sumpah, caj perkhidmatan yang boleh dikenakan oleh seseorang Pesuruhjaya Sumpah telah dinaikkan daripada RM4 kepada RM10 bagi afidavit asal, dokumen ikrar, akuterimaan, surat ikatan dan juga surat cara lain,” katanya ketika menjawab pertanyaan P. Prabakaran (PH-Batu) mengenai dasar dan pendekatan kementerian dalam menetapkan caj perkhidmatan yang boleh dikenakan Pesuruhjaya Sumpah.

Beliau juga berkata, terdapat kenaikan caj perkhidmatan daripada RM2 kepada RM5 bagi eksibit yang disebut di dalam afidavit asal, salinan afidavit, salinan dokumen ikrar, akuterimaan, surat ikatan dan surat cara lain manakala kenaikan caj perkhidmatan daripada RM1 kepada RM2 pula adalah bagi salinan eksibit.

Perkara itu adalah selepas Ketua Hakim Negara bersetuju untuk menggantikan Kaedah-kaedah Pesuruhjaya Sumpah 1993 kepada Kaedah-kaedah Pesuruhjaya Sumpah 2018 yang kemudiannya diwartakan dan berkuat kuasa 1 Mac.

Tambah Vui Keong, tujuan kenaikan caj itu adalah berikutan Kaedah-kaedah Pesuruhjaya Sumpah tidak pernah dikaji atau ditambah baik sepanjang 25 tahun, caj perkhidmatan yang terlalu rendah jika dibandingkan dengan caj yang dikenakan di Singapura (S$25 bagi mengaku saksi satu afidavit) serta bagi menambah baik fungsi Pesuruhjaya Sumpah. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN