Melihat fizikal Azrulkhan Hasrullah Matsah, 26, yang tidak mampu berdiri dan berjalan seperti orang lain, pasti ramai tidak menyangka bahawa dia pernah sampai ke Everest Base Camp (EBC), Nepal yang terletak pada ketinggian 5,364 meter dari paras laut. EBC adalah kem induk bagi pendakian ke puncak tertinggi dunia, Gunung Everest.
Dengan kudrat sendiri, Azrulkhan merangkak menggunakan tangan dan lutut untuk sampai ke kem induk tersebut. Bukan sehari dua, tetapi memakan masa sehingga 15 hari. Persekitaran yang sejuk, trek berbatu, berdebu dan di sesetengah tempat laluan dicemari najis yak, haiwan yang hidup di tanah tinggi serta terdedah kepada penyakit akut gunung (AMS) antara cabaran yang perlu ditempuhnya.
Menceritakan semula detik-detik bersejarah buat dirinya itu, Azrulkhan yang lebih mesra dengan panggilan Adam berkata, EBC yang ditawannya pada Mei 2018 bukanlah mudah didaki kerana memerlukan daya tahan fizikal (endurance) dan mental yang kuat.
Malah, ramai pendaki yang sempurna fizikalnya gagal menamatkan cabaran ke EBC. Ada juga pendaki termasuk dari Malaysia yang menemui ajal dalam percubaan ke kem induk tersebut. Malah, sepanjang tempoh mendaki itu, Adam sendiri turut menyaksikan ramai pendaki lain terpaksa berpatah balik kerana tidak mampu meneruskan pendakian ke kem induk yang menjadi tumpuan pendaki seluruh dunia untuk ‘berkampung’ sebelum melakukan asakan terakhir ke puncak tertinggi dunia.
“Ada suatu ketika saya melihat pendaki lain dalam keadaan sangat lemah kerana diserang AMS sehingga terpaksa melupakan hasrat untuk ke EBC.
“Orang normal pun berdepan kesulitan untuk ke EBC, apatah lagi orang kurang upaya (OKU) seperti saya.
“Namun, itu tidak mematahkan semangat saya dan berbekalkan keazaman yang tinggi, saya meneruskan pendakian sehingga berjaya sampai di EBC,” kata anak kelahiran Kuching, Sarawak itu.
Adam menghidap penyakit poliomyelitis sejak kecil yang menyebabkan otot kedua-dua belah kakinya mengecut dan lumpuh.
Dengan keadaan fizikalnya itu, Adam hanya mampu melakukan pendakian ke EBC sejauh antara empat dan tujuh kilometer sehari, bergantung kepada kadar kenaikan ketinggian (elevation gain).
Jika kebiasaannya pendakian ke EBC mengambil masa selama tujuh atau lapan hari, Adam yang ditemani oleh jurulatih peribadinya, Ardi Dullam, 42, pula terpaksa menempuh pendakian selama 15 hari.
Sepanjang perjalanan, Adam yang turut diiringi tiga pendaki dari Kelab Eksplorasi 7 Benua (KE7B) mengharungi pelbagai cabaran seperti suhu sehingga -8 darjah Celsius, trek becak dan dipenuhi najis yak serta tempoh pendakian yang panjang.
Segala penat lelah berdepan cabaran getir itu berbaloi kerana sekembalinya ke tanah air, Adam mendapat pengiktirafan daripada The Malaysia Book of Records sebagai Pendaki OKU Pertama Merangkak ke EBC.
Mengimbas kembali pembabitan Adam dalam aktiviti mendaki, penuntut Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu sebelum ini tidak pernah melibatkan diri dalam sebarang aktiviti sukan, apatah lagi mendaki.
Ia bermula pada 2014 apabila Adam mengambil keputusan untuk mencabar diri mendaki Bukit Broga di Semenyih, Selangor selepas teruja melihat rakan-rakannya memuat naik gambar-gambar aktiviti mendaki dalam laman sosial Facebook.
Walaupun baru pertama kali mendaki, namun Adam tidak pernah berasa menyesal atau putus asa, sebaliknya segala keperitan merangkak ke puncak Bukit Broga telah melahirkan minat yang mendalam kepada aktiviti tersebut.
Sejak itu, Adam mula mendaki bukit-bukit di sekitar Lembah Klang seperti Bukit Saga, Bukit Tabur, Bukit Gasing dan Denai Tiga Puteri.
Dia juga menyahut cabaran mendaki Gunung Datuk dan Gunung Angsi di Negeri Sembilan, Gunung Bunga Buah (Pahang), Bukit Kutu (Selangor), Gunung Trusmadi (Sabah) serta mendaki anak tangga Menara Kuala Lumpur.
Kejayaan istimewa Adam selain EBC ialah menawan puncak Gunung Kinabalu yang berketinggian 4,095 meter dari paras laut (dpl) pada Oktober 2016 melalui percubaan keduanya. Dalam percubaan pertama pada Januari tahun sama, dia hanya berjaya tiba di Sayat-Sayat.
Pencapaian itu turut diitktiraf oleh The Malaysia Book of Records dan direkodkan sebagai Pendaki OKU Pertama Merangkak ke Puncak Gunung Kinabalu.
Anak keempat daripada sembilan beradik itu kini memasang impian untuk mendaki gunung tertinggi di Afrika iaitu Gunung Kilimanjaro yang terletak di Tanzania.
Istimewanya Gunung Kilimanjaro yang berketinggian 5,895 meter dpl itu adalah kerana tersenarai dalam tujuh puncak dunia (World Seven Summits) iaitu merujuk kepada puncak-puncak tertinggi di setiap benua.
“Saya telah melakukan sedikit penyelidikan tentang Gunung Kilimanjaro. Tempoh pendakiannya lebih kurang seperti pendakian ke EBC.
“Insya-Allah kalau ada pihak yang ingin membantu, saya mahu melakukan ekspedisi ke gunung tersebut pada pertengahan tahun hadapan,” katanya.
Selain mendaki, Adam kini turut terlibat dengan aktiviti kayak, memanah dan bola baling duduk iaitu sejenis acara sukan untuk golongan OKU.










