Bunyi hon seawal 5 pagi ganggu penduduk - Utusan Malaysia

Bunyi hon seawal 5 pagi ganggu penduduk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 13 Dis. – “Bunyi hon seawal lima pagi sering mengganggu waktu tidur kami”. Itulah antara keluhan penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Mulia dan Perumahan Awam (PA) Seri Kota yang dibelenggu kesesakan parkir.

Masalah yang dihadapi setiap hari itu seolah-olah tidak berpenghujung akibat tindakan segelintir penduduk meletakkan kenderaan secara berlapis di tepi jalan kerana kekurangan ruang parkir.

Malangnya, keadaan itu bukan sahaja menyusahkan sesama mereka yang memiliki kenderaan bahkan turut menghalang laluan bas untuk melalui kawasan berkenaan.

Penduduk mendakwa, masalah itu tidak akan selesai selagi parkir ber­tingkat yang dijanjikan mampu menampung lebih 1,000 kenderaan di situ tidak beroperasi.

Selain itu, penunggang motosikal juga menerima ‘tempias’ apabila parkir berbumbung yang disediakan untuk mereka telah dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembinaan parkir bertingkat itu.

Kesannya, penunggang motosikal terpaksa meletakkan kenderaan mereka di sepanjang laluan pejalan kaki di kawasan perumahan itu.

Masalah ‘parkir haram’ di kawasan itu juga menyebabkan penduduk berdepan dengan masalah seperti kes curi dan pecah kenderaan.

Sehubungan itu, orang ramai mengharapkan pihak bertanggungjawab dapat mengambil langkah mempercepatkan operasi parkir ber­tingkat itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×