Bung Moktar peneraju baharu UMNO Sabah - Utusan Malaysia

Bung Moktar peneraju baharu UMNO Sabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah yang baharu bagi menggantikan Datuk Seri Hajiji Mohd Noor, berkuat kuasa serta-merta.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika mengumumkan perkara itu berkata, Ketua UMNO Bahagian Sepanggar, Datuk Yakub Khan pula dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Perhubungan Awam UMNO.

Turut dilantik ialah Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan, Datuk Jeffri Ariffin sebagai Setiausaha dan Ketua UMNO Bahagian Tenom, Datuk Raime Unggi sebagai Pengerusi Penerangan.

Ahmad Zahid berkata, pelantikan itu dibuat selepas Hajiji dan sekumpulan wakil rakyat serta ketua bahagian UMNO negeri itu meninggalkan parti berkenaan untuk menjadi ahli politik bebas, hari ini.

Tindakan segera itu juga diambil bagi menyusun semula badan perhubungan UMNO Sabah di peringkat bahagian seperti terkandung dalam Perlembagaan parti.

“Tindakan segera akan dilakukan bagi menyusun dan merombak Badan Perhubungan UMNO Sabah. UMNO juga bersedia dengan pelan penggantian di peringkat bahagian sebagaimana terkandung dalam fasal 15.7 dan fasal 15.8 Perlembagaan UMNO.

“Fasal 15 dalam Perlembagaan UMNO itu berhubung jawatankuasa bahagian, di mana jika Ketua UMNO bahagian berhenti atau diberhentikan maka Timbalan Ketua Umno Bahagian akan memangku jawatan itu dan jika Pemangku Ketua berhenti atau diberhentikan maka jawatankuasa bolehlah melantik salah seorang Naib Ketua untuk memangku jawatan tersebut sehingga diadakan Mesyuarat Perwakilan Bahagian mengikut Fasal 15.3 perlembagaan UMNO,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Turut hadir, Ismail Sabri; Mahdzir Khalid; Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Sementara itu, Zahid menegaskan UMNO Sabah tidak akan terbubar meskipun hampir kesemua anggota jawatankuasa badan perhubungan negeri itu umum keluar parti pagi tadi.

“Apa yang berlaku di Sabah merupakan satu tindakan yang dijangka dan ini tidak sama sekali melemahkan perjuangan UMNO yang telah banyak menabur jasa kepada seluruh rakyat negeri itu.

“Kemasukan UMNO ke Sabah pada tahun 1991, telah mengubah kedudukan sosioekonomi negeri itu dan sudah tentu parti rumpun Melayu akan meneruskan pembelaan berkenaan.

“Untuk itu, perlu diperjelaskan bahawa UMNO Sabah tidak terbubar walaupun ada pemimpin negeri itu yang keluar parti,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×