Bukan BN, tetapi MCA yang patut dibubarkan - Utusan Malaysia

Bukan BN, tetapi MCA yang patut dibubarkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DENGAN hanya menang satu sahaja kerusi Parlimen daripada 222 kerusi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, cadangan MCA semalam dalam perhimpunan agungnya supaya Barisan Nasional (BN) dibubarkan, agak melucukan.

Meskipun suara mereka bolehlah dihormati selaku parti komponen, tetapi adakah MCA sedar bahawa cadangan yang dibuat itu langsung tidak masuk akal setelah mereka kini diibaratkan hidup segan, mati tak mahu kerana tidak lagi disokong masyarakat Cina.

Apa yang mengejutkan adalah MCA tidak pula berani mengumumkan keluar BN, walaupun sebelum ini beberapa pemimpin mereka cakap besar mahu berbuat demikian.

Adakah cadangan membubarkan BN lebih merupakan usaha menutup kelemahan MCA yang berprestasi teruk sejak pilihan raya umum 2008 dan bukan lagi tandingan DAP?

Seandainya mahu membentuk BN baharu sekali pun, apakah gabungan baharu nanti benar-benar berkualiti jika parti lemah seperti MCA masih menjadi komponen di dalamnya.

Kepada Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong, dimanakah maruahnya setelah beliau sendiri menang di Parlimen Ayer Hitam, Johor yang majoritinya adalah pengundi Melayu yang pastinya menyokong pemimpin Cina itu atas semangat BN yang ditunjangi UMNO.

Barangkali Ka Siong tidak mahu keseorangan dan suaranya tidak dipedulikan dalam Dewan Rakyat, membuatkan parti itu mengambil ‘langkah selamat’ dengan hanya mencadangkan BN dibubarkan, walaupun sebelum ini parti itu mengacah mahu keluar.

Tetapi daripada menjadi duri dalam daging, adalah lebih baik MCA mengikut jejak langkah parti Gerakan yang keluar daripada BN tanpa membuat provokasi yang menyakitkan hati komponen BN lain.

Perhimpunan Agung MCA semalam gagal memberi gambaran parti itu cukup kuat untuk menyerang lawan, sebaliknya intipati perhimpunan itu seolah-olah menyebabkan BN terus menjadi bahan jenaka politik.

Demi memastikan gabungan pembangkang yang ada ketika ini benar-benar berkemampuan memantau tingkah laku kerajaan Pakatan Harapan (PH), adalah lebih baik MCA yang dibubarkan, bukan BN.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN