ALOR GAJAH – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri berjaya menangkap seekor buaya tembaga seberat kira-kira 200 kilogram selepas haiwan reptilia itu sesat di dalam Empangan Durian Tunggal di sini semalam.
Pengarah Perhilitan negeri, Noorzakiahanum Mohd. Noh berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian seekor buaya sepanjang 3.4 meter telah masuk ke dalam kawasan empangan tersebut sejak 14 Disember lalu.
Katanya, tangkapan berjaya dibuat dengan kerjasama dari pihak Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) dan Badan Kawal Selia Air (BKSA) yang membuat kerja-kerja pengeringan kolam menggunakan pam.
“Sebelum ini pihak jabatan telah dimaklumkan dengan kewujudan buaya itu di dalam empangan, namun pada dua minggu lalu kita dimaklumkan haiwan tersebut telah masuk ke kawasan limpahan dan pemantauan dibuat sejak Jumaat baru-baru ini.
“Kerja-kerja menangkap dilakukan sejak Isnin minggu lalu dengan bantuan BKSA, SAMB, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan bomba. Tangkapan berjaya dibuat kira-kira pukul 5 petang semalam,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Difahamkan buaya tembaga tersebut dibawa ke Paya Indah Wetland, Selangor untuk tindakan selanjutnya. – K! ONLINE










