JELEBU – Seekor anak kucing yang terperangkap dalam runtuhan struktur bangunan di Simpang Pertang dekat sini berjaya diselamatkan oleh sepasukan anggota bomba petang tadi.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pertang, Irwan Hairulshah Abdul Hamid berkata, runtuhan itu membabitkan bahagian dapur tiga buah kedai makan kira-kira pukul 2.34 petang.
“Kami menerima panggilan kecemasan bagi menyelamatkan kucing yang tersepit. Kami terkejut apabila melihat struktur bangunan kedai makan di situ runtuh.
“Pihak bomba kemudian mendapati memang benar ada anak kucing tersepit disebalik runtuhan itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.
Irwan Hairulshah berkata, pasukannya mengambil masa selama lima minit untuk mengeluarkan kucing jantan itu dan kemudian memaklumkan kejadian runtuhan kepada Majlis Daerah Jelebu.
Kata beliau, kucing itu diserahkan kepada orang ramai di lokasi kejadian dan pemeriksaan lanjut mendapati kedai makan terbabit tidak selamat untuk diduduki.
Jelas beliau, runtuhan dipercayai akibat hakisan dan mendapan tanah pada tebing Sungai Air Baning itu berlaku pada pukul 2.34 petang. – K! ONLINE











