KUALA TERENGGANU 11 Dis. – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) hanya mencatatkan kerugian RM2.2 bilion dalam tempoh Januari hingga November tahun ini dan jumlah itu menurun berbanding taksiran kerugian dalam tempoh sama tahun lalu dan tahun sebelumnya.
Jumlah kerugian itu kebanyakannya melibatkan kes panggilan kecemasan, kebakaran serta penyelamatan dan sepanjang tempoh itu tahun ini, sebanyak 98,013 kes panggilan kecemasan direkodkan antaranya membabitkan 34,970 kes kebakaran selain 54,279 penyelamatan.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Amer Yusof berkata, jumlah kerugian tahun ini bagaimanapun menurun berbanding taksiran kerugian RM5.2 bilion pada tahun lalu dan RM2.9 bilion tahun sebelumnya.
Beliau memberitahu, jumlah kes panggilan kecemasan tahun lalu pula adalah 86,982 kes yang turut melibatkan 29,356 kes kebakaran dan 54,884 kes penyelamatan.
“Manakala bagi tahun 2016, sebanyak 92,307 kes panggilan kecemasan dicatat membabitkan 9,875 kes kebakaran serta 40,402 penyelamatan,” katanya.
Beliau menyatakan perkara itu dalam sidang media selepas menyempurnakan majlis penyampaian Geran Bantuan Kewangan Kepada Pasukan Bomba Sukarela (PBS) 2018 dan program Executive Talk Bersama Warga JBPM Terengganu di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah JBPM Terengganu, Azlimin Mat Noor dan timbalannya, Sharikan Bustaman. – UTUSAN ONLINE









