BISIK-BISIK AWANG SELAMAT - 14 DISEMBER 2018 - Utusan Malaysia

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT – 14 DISEMBER 2018

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAMPAI bila? Itulah persoalan yang bermain di fikiran Awang apabila menyentuh soal tindakan ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) melompat parti atau mengisytihar menjadi wakil rakyat Bebas.

Sudah pasti pelbagai alasan diberikan bagi ‘menghalalkan’ tindakan mereka, tetapi persoalannya bagaimana dengan rakyat yang mengundi mereka dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu?

Awang percaya majoriti mereka menang atas nama parti yang diwakili tetapi apabila mandat diberikan, mereka dianggap mengkhianatinya apabila melompat parti atau keluar parti. Tidak kira apapun alasan Awang berpendapat ia tidak wajar.

Oleh itu Awang bersetuju dengan pandangan banyak pihak bahawa budaya ini harus dihentikan. Kita tidak boleh membiarkan selama-lamanya arena politik tanah air ‘dihiasi’ dengan adegan memualkan ini.

Berdasarkan maklumat Awang perolehi, apa yang berlaku sekarang adalah demi memperkuatkan parti-parti tertentu. Soalnya wajarkah tindakan sedemikian?

Bagaimana dengan rakyat yang mengundi mereka. Sudah tentu rakyat di kawasan yang diwakili berasa kecewa kerana sebahagian besar mereka mengundi kerana sayangkan parti wakil rakyat tersebut.

Justeru sesuatu perlu dilakukan bagi menghentikan budaya ‘lompat melompat’ ini. Mungkin satu undang-undang baru perlu digubal supaya tidak terjadi lagi pengkhianatan terhadap mandat rakyat.

Awang percaya semua ahli politik akan bersetuju atas kesedaran bahawa tiada parti yang akan selamat dalam tindakan itu. Kalau bukan hari ini, mungkin pada masa depan.

Awang – Muak kerenah politikus.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×