PULAU PINANG 10 Dis. – Pemaju digalakkan untuk membina lebih banyak rumah mampu milik di bahagian pulau negeri ini memandangkan permintaan terhadap kategori rumah itu ketika ini agak tinggi.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow (gambar) berkata, setakat Oktober lalu, seramai 30,726 pemohon berada dalam senarai menunggu bagi rumah kos rendah dan kos sederhana rendah di negeri ini.
Menurutnya, jumlah itu jauh lebih tinggi berbanding seramai 12,326 pemohon yang sedang menunggu untuk pembelian rumah bagi kategori lain.

“Majoriti pemohon dalam senarai ini adalah penduduk yang berada di bahagian pulau.
“Sebab itu kerajaan negeri meletakkan syarat bagi setiap 150 unit rumah yang dibina pemaju, 30 peratus mesti diperuntukkan bagi rumah kos rendah dan kos sederhana rendah bergantung kepada daerah berkenaan,” katanya.
Kon Yeow berkata demikian selepas merasmikan majlis cabutan undi bagi dua projek perumahan mampu milik oleh Sunway Berhad iaitu Desa Kayu Manis dan Rumah Pangsa Harmoni di sini baru-baru ini.
Desa Kayu Manis yang terletak di Batu Maung merupakan pangsapuri 10 tingkat manakala Rumah Pangsa Harmoni di Bukit Mertajam setinggi 17 tingkat.
Menurutnya, pemaju yang gagal mematuhi syarat membina rumah kos rendah dan sederhana rendah itu perlu membayar RM120,000 bagi setiap unit rumah berkenaan.
Katanya, wang itu akan dimasukkan ke dalam Tabung Perumahan Awam dan Mampu Milik untuk membina rumah kategori tersebut di kawasan yang dikenal pasti.
“Sebagai contoh, rumah jenis itu yang ada sekarang adalah di projek pembinaan di Jalan SP Chelliah,” katanya.










