Bina empayar bisnes digital - Utusan Malaysia

Bina empayar bisnes digital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Wajahnya lembut dengan gerak tubuh dan tutur kata penuh sopan. Namun siapa sangka wanita berpakej itu bukan saja bercita-cita tinggi, malah pemegang Ijazah dalam Sains Manusia (Sains Politik) dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) mampu menggalas tugas besar sebagai ketua pegawai eksekutif dalam bidang perniagaan berasaskan teknologi digital kewangan (fintech) yang jarang diceburi wanita.

Bicaranya bersahaja, Nurshuhada Zainal tegas dengan pendiriannya bertekad menjadi contoh kepada anak muda masa kini supaya bersikap positif dalam hidup.

 

Nurshuhada memilih kerjaya sebagai usahawan kerana mahukan fleksibiliti masa menguruskan dua anak berusia lapan dan dua tahun. Meskipun wanita ini berpengalaman lebih 10 tahun makan gaji di syarikat besar dalam jabatan sumber manusia, kehadiran dua cahaya matanya itu juga membulatkan tekadnya supaya tidak terikat dengan waktu pejabat.

Lebih penting baginya ketika itu, bidang yang dipilih haruslah mempunyai banyak masa sampingan untuk berada di rumah dan boleh bekerja secara dalam talian saja dari rumah.

“Saya percaya bahawa bidang perniagaan adalah sembilan daripada 10 punca rezeki dan dapat mencapai cita-cita saya mendapatkan kebebasan kewangan pada usia muda,” katanya.

Cabaran

Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif syarikat bumiputera yang menjadi antara perintis teknologi blockchain di Malaysia, BCMY Pte Ltd. (BCMY), Nurshuhada antara tulang belakang kejayaan teknologi kewangan di negara ini.

Bidang ini bukan sesuatu yang mudah kerana Nurshuhada perlu membina kepercayaan dalam kalangan masyarakat tentang teknologi yang belum diterima secara umum dan diguna pakai di negara ini. Di sinilah peranan syarikatnya mendidik masyarakat memandangkan bidang teknologi kewangan dan mata wang digital adalah suatu perkara baru baik di dalam dan luar negara.

Katanya, memberi pendidikan kepada masyarakat adalah cabaran utama khususnya bagi mendedahkan kepada orang ramai tentang kepentingan teknologi ini sebagai pelengkap kepada kehidupan seharian kerana kaitannya dengan penggunaan kewangan.

Selain itu, sebagai penggerak utama syarikat dalam industri baharu ini juga bukan mudah kerana dia perlu sentiasa tingkatkan ilmu sendiri berkenaan teknologi ini dan ekosistemnya.

“Sebab itu saya sentiasa membaca buku, artikel dan bahan bacaan untuk sentiasa memastikan ilmu yang saya ada sesuai dan boleh diaplikasikan di dalam syarikat untuk sentiasa maju. Untuk memperkenalkan produk berteknologi baharu bukan mudah apatah lagi apabila ia berkait rapat dengan pemasaran secara meluas.

“Ramai yang memperkecilkan kebolehan saya dalam menjadi tunggak syarikat yang memperkembangkan produk lebih kepada 10 buah negara. Malah, ada yang merasakan wanita tidak layak ke depan sebagai usahawan berjaya.Tetapi, saya buktikan kemampuan dengan memberikan 100 peratus komitmen kepada projek yang saya kendalikan,” katanya.

NURSHUHADA ZAINAL sering dijemput memberi ceramah berkaitan teknologi kewangan.
NURSHUHADA ZAINAL sering dijemput memberi ceramah berkaitan teknologi kewangan. 

Beliau juga bersyukur kerana mempunyai suami yang memahami kerjayanya dan mengagihkan tugas masing-masing dari segi pengurusan anak.

Nurshuhada berkata, beliau juga akan memastikan setiap kali ke luar negara atas urusan perniagaan, keluarganya akan dibawa bersama untuk meluangkan masa bersama mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN