KUALA KANGSAR 13 Dis. – Bilik Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar di sini terbakar dalam kejadian pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, Mohd. Taufiq Abd. Sattar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 8.17 pagi.
Katanya, seramai 15 pegawai dan anggota dengan dua buah jentera serta sebuah kenderaan Unit Kecemasan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan (ERMS) di hantar ke tempat kejadian.
“Sebaik sahaja tiba di lokasi, didapati api marak dalam bilik ketua polis daerah yang berada di tingkat dua bangunan.
“Kerja-kerja memadamkan kebakaran segera dijalankan dengan api dapat dikawal dan dipadamkan dalam tempoh lima minit,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut beliau, kejadian itu tidak melibatkan kemalangan jiwa dan tindakan pantas pihak bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke bahagian lain bangunan itu. – UTUSAN ONLINE











