KUALA LUMPUR 2 Dis. – Raja-raja Melayu diminta menggunakan kuasa yang termaktub di dalam Majlis Raja-Raja termasuk perundangan negara bagi menghukum pihak yang berterusan menghina institusi berkenaan.
Ini kerana rakyat jelata sudah tidak terdaya lagi untuk membela serta menangkis serangan yang dilancarkan kepada raja-raja Melayu oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
Sehubungan itu, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Dr. Ibrahim Ali berharap tindakan segera dapat diambil kerana dibimbangi masalah berkenaan menjadi barah kepada masyarakat.
“Ampun tuanku patik sekalian hamba rakyat datang menyembah, tuanku mempunyai kedudukan di singgahsana sudah cukup orang hina raja-raja Melayu, kita rakyat sudah tidak upaya.
“Gunakan kedudukan Majlis Raja-Raja Melayu dan gunakan peraturan yang ada dengan ambil tindakan tegas supaya raja-raja kita tidak lagi dihina,” katanya ketika menyampaikan ucaptama Perhimpunan Agung Tahunan Perkasa Kali Kesembilan, di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Ibrahim mendesak Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memecat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy.
Katanya, tindakan beliau memburukkan imej negara serta polis namun enggan memohon maaf serta memperbetulkan keadaan amat dikesali.
Beliau juga berharap kerajaan mengkaji semula kuota menteri kaum India yang dilihat berlebihan iaitu tiga menteri dan seorang timbalan menteri berbanding jumlah mereka hanya mewakili tujuh peratus rakyat Malaysia.










