RANTAU PANJANG 31 Dis. – Perkarangan Masjid Mukim Kampung Rahmat, di sini sunyi sepi sebaik sahaja Zawawi Wahab, bapa kepada tiga beradik yang lemas di Pantai Sura, Terengganu mengucup jenazah anak-anaknya satu persatu sebelum upacara pengebumian diteruskan petang ini.
Tiada kata-kata mampu diluahkan si bapa yang berusia 42 tahun ketika itu, namun kucupan lama serta penuh kasih sayang yang disusuli air mata hiba seolah-olah menitipkan pesanan terakhir, ‘bersemadilah dengan tenang anak-anakku’.
Jenazah tiga beradik, Nurain Fatma Zawawi, 10; Nurain Sufia, 8, serta Nurain Sasabila,5, selama tiba di Kampung Rahmat pada pukul 6.15 petang ini dan selamat disemadikan bersama dalam satu liang lahad pada pukul 6.55 petang.
Kira-kira 300 sanak-saudara dan penduduk setempat hadir menyaksikan pengebumian serta memberi penghormatan terakhir kepada mereka bertiga.
Terdahulu, solat jenazah tiga beradik berkenaan diimamkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gual Periok, Datuk Muhammad Awang bersama orang ramai.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.40 petang semalam, ketiga-tiga mangsa dilaporkan lemas dan dihanyutkan arus setelah dipukul ombak besar ketika bermain di pesisir Pantai Sura.
Mayat Nurain Sofia ditemukan pada pukul 7.48 pagi ini, lima kilometer dari lokasi kejadian manakala adiknya Nurain Sasabila dijumpai kira-kira pukul 9.40 pagi, satu kilometer dari tempat kejadian.
Sementara kakak mereka, Nurain Fatma dijumpai orang awam terdampar di pesisir pantai kira-kira 11.03 pagi, lebih kurang lima kilometer dari lokasi kejadian. – UTUSAN ONLINE










