Bersatu tiada ideologi yang kukuh - Utusan Malaysia

Bersatu tiada ideologi yang kukuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 30 Dis. – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dibangunkan tanpa sebarang pasak ideologi yang kukuh telah menyebabkan kepemimpinan parti tersebut berada dalam keadaan sangat celaru, keliru dan buntu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam satu kenyataan berkata, perkara itu jelas apabila pendirian kepemimpinan tertinggi itu tidak konsisten dalam memperkasakan orang Melayu di negara ini.

“Sekejap mahu jadi penyelamat Malaysia, namun tiada pula dasar konkrit yang parti ini (Bersatu) ditawarkan. Kemudian mereka adalah juara kesamarataan.

“Tetapi berpusing-pusing sekitar keperluan mendesak dasar afirmatif. Selepas dikritik kerana tidak serius dengan agenda bumiputera, kini mereka adalah pembela agenda Melayu pula,” katanya.

Jelas bekas Menteri Besar Johor itu, UMNO tidak apologetik malah sentiasa konsisten tanpa berdolak dalih berkaitan Islam dan Melayu, malah semua pihak boleh memeriksanya.

Kata beliau, agenda Melayu, kedudukan Islam serta masa depan terbaik untuk Malaysia majmuk adalah tiga mantera utama UMNO sejak dahulu, kini dan selamanya.

“Sedarlah, jalan parti ini (Bersatu) masih jauh. Pemimpin berpengalamannya semakin dimamah usia dan sibuk bergelut dengan bekas seteru politik mereka yang kini terpaksa duduk semeja dan senyum bersama.

“Pemimpin mudanya pula tidak berhaluan dan saban hari menimbulkan rasa mual orang Melayu acapkali mereka bersuara. Yang paling penting, akar umbinya masih tidak merasai apa signifikannya parti itu dalam kehidupan mereka,” katanya. – UTUSAN ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×