Berapa jumlah keuntungan hasil jualan RON95, tanya Khairy - Utusan Malaysia

Berapa jumlah keuntungan hasil jualan RON95, tanya Khairy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 24 Dis. – Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menggesa kerajaan mengumumkan jumlah keuntungan  hasil jualan petrol RON95 yang telah dikutip oleh kerajaan bagi tempoh lima minggu lalu disebabkan penurunan harga petrol dipasaran berbanding harga yang dikenakan oleh kerajaan.

Khairy berkata, jika disemak harga jualan petrol RON95 bagi minggu ini adalah sekitar RM1.94. Manakala bagi tempoh lima minggu sebelum ini, harga jualan RON95 sepatutnya adalah antara RM1.95 sehingga RM2.18.

Menurut beliau, kerajaan masih tetap membuat keputusan untuk mengekalkan harga jualan RON95 pada kadar RM2.20 walaupun berlaku penurunan harga yang agak ketara di peringkat global bagi tempoh tersebut.

Anggaran harga runcit RON95 dari 8 November hinga 19 Disember.
Anggaran harga runcit RON95 dari 8 November hinga 19 Disember. 

“Rupa-rupanya, sudah enam minggu kerajaan Pakatan Harapan kenakan cukai ke atas jualan petrol. Apa maksud saya? Maksud saya sudah enam minggu rakyat membayar lebih daripada harga pasaran. Bukan setakat tidak dapat subsidi, enam minggu rakyat bayar ‘cukai’ kepada kerajaan setiap kali isi minyak

“Saya berharap Kementerian Kewangan atau Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna dapat menjelaskan kepada rakyat Malaysia berapakah jumlah keuntungan hasil jualan petrol yang telah dikutip oleh kerajaan dari tempoh tersebut sehinggalah sekarang disebabkan oleh perbezaan harga ini,” kata Khairy dalam satu hantaran di Facebook beliau hari ini.

Sementara itu, Khairy juga berharap kerajaan mendedahkan mekanisme baharu Automatic Pricing Mechanism (APM)  yang akan diperkenalkan bermula Januari depan agar lebih mudah untuk rakyat membuat semakan terhadap harga jualan petrol pada masa hadapan.

Beliau turut meminta kerajaan mengumumkan sama ada ditentukan harga siling sebelum subsidi diberi atau tidak.

“Tetapi apa yang pasti, keputusan kerajaan Pakatan Harapan untuk mengembalikan sistem APM mengikut harga apungan semasa menjadi bukti jelas bahawa kaedah yang digunakan oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini adalah tepat dan sangat sesuai dilaksanakan,” kata Khairy.

Menerusi pembentangan Belanjawan 2019 pada 2 November lalu, kerajaan  telah memutuskan untuk mengembalikan penentuan harga runcit petrol bermula ‪1 Januari 2019 mengikut sistem APM berdasarkan apungan harga semasa seperti mana yang telah dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN