KUALA LUMPUR – Bendera Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan dikibar separuh tiang di semua premis bomba di seluruh negara sebagai tanda penghormatan kepada pemergian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim.
Muhammad Adib, 24, menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 9.41 malam tadi di Institut Jantung Negara di sini.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, kibaran bendera separuh tiang itu akan dilaksanakan selama tiga hari bermula hari ini hingga Khamis ini.
“Pihak JBPM mengucapkan takziah kepada keluarga Mohammad Adib dan semoga ahli keluarganya diberikan kekuatan dalam menempuh ketentuan Ilahi ini dan marilah kita berdoa agar roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.
“Sesungguhnya jasa dan nama beliau akan disemadikan bersama-sama Wira Merah di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Tengah Kuala Kubu Bharu dan diabadikan dalam lipatan sejarah bomba negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohammad Hamdan menambah, pihaknya juga merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali yang turut memberi penghormatan terakhir di Pangkalan Udara Subang pagi semalam.
“Bomba juga ingin melahirkan penghargaan terhadap semua pihak termasuk pihak kerajaan yang terdiri daripada barisan menteri, pihak Pusat Perubatan Subang Jaya, Institut Jantung Negara, Hospital Kuala Lumpur, pihak agensi kerajaan, korporat, perseorangan, media dan semua rakyat negara ini yang menghulurkan bantuan, sumbangan dan doa bermula dari Adib mula menjalani rawatan sehinggalah selesai urusan pengebumian beliau.
“Pihak JBPM berharap agar tindakan undang-undang yang tegas akan diambil kepada pihak yang bertanggungjawab terhadap kecederaan dan kematian Muhammad Adib,” ujarnya. – K! ONLINE











