SEJAK tercetusnya rusuhan Kuil Sri Mariamman di Subang Jaya, penulis menerima pelbagai mesej daripada saudara mara yang bertanya apa sebenarnya berlaku di situ.
Mereka ternyata resah kerana tersebar terlalu banyak cerita yang jika tidak diuruskan dengan betul boleh mencetuskan pertelingkahan antara kaum khususnya melibatkan orang Melayu dan India.
Senario seumpama ini tidak sepatutnya dibiarkan berlaku. Ketika ini pihak berkuasa sedang bertungkus-lumus menyelesaikan kes tersebut sebaik-baiknya. Biarlah mereka uruskan. Namun begitu kejadian itu memberi pengajaran berguna kepada semua pihak supaya berhati-hati dalam tindakan atau kenyataan bagi mengelakkan kita tergolong dalam kelompok jahil atau kurang bijak.
Perlu difahami apabila tercetus kes melibatkan mana-mana kaum apatah lagi rumah ibadah, semua pihak perlu bertenang bukannya mahu menjadi pembela tidak bertempat atau jaguh kepada mana-mana kumpulan. Ia ibarat gelas kaca yang harus ditangani dengan berhati-hati, jangan sampai ia berderai. Kalaulah tanpa mengetahui hujung pangkal, awal-awal lagi sudah ada pihak melihat kes jenayah dari sudut perkauman tanpa menunggu siasatan polis, sudah tentu ia amat bahaya.
Tetapi malangnya apabila tercetusnya rusuhan di kuil tersebut, ada dalam kalangan ahli politik membuat komen tidak bijak dengan menuduh ia berpunca daripada perbuatan orang Melayu dan ada pula menyalahkan pihak berkuasa. Tindakan itu mengundang kemarahan orang ramai khususnya orang Melayu. Kalau membaca komen-komen dalam laman sosial, kita boleh ‘meremang bulu roma’.
Ia juga memberi peluang kepada kelompok tertentu untuk mengambil kesempatan melakukan ‘kerja-kerja bodoh’ dengan mengapi-apikan sentimen perkauman termasuklah menyebarkan berita palsu berhubung rusuhan tersebut. Macam-macam berita disebarkan, antaranya melalui pesanan suara.
Semua itu tidak akan menguntungkan mana-mana pihak, sebaliknya boleh meletakkan negara dalam bahaya. Penulis yakin semua kaum tidak mahu negara ini kacau-bilau. Sudah ditegaskan oleh polis, rusuhan itu bukan isu perkauman. Ia melibatkan soal sebuah kuil yang sudah mendapat perintah mahkamah untuk dipindahkan, tetapi kegelojohan pihak tertentu menangani pemindahan tersebut menyebabkan ia menjadi satu rusuhan yang memaksa pihak berkuasa bertindak.
Oleh itu hentikanlah soal sentimen Melayu, India dalam kes tersebut. Biarkan pihak berkuasa menjalankan siasatan telus bagi memastikan mereka yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.
Perpaduan dan keamanan sedia ada harus dipertahankan kerana apa-apa berlaku kepada negara ini apatah lagi jika melibatkan soal ketegangan kaum, ia pasti membawa petaka kepada semua. Dalam bahasa mudah, yang menang jadi arang, yang kalah jadi abu.
Pada masa sama kita juga berharap apa yang berlaku di Subang Jaya itu tidak dijadikan alasan untuk tidak membenarkan umat Islam berhimpun membantah ICERD pada 8 Disember ini.
Ini bukan soal boleh mengadakan kesyukuran di masjid atau kenduri pisang, salahkah orang Melayu mahu berhimpun secara aman? Lagipun penganjur juga sudah memberi jaminan akan memastikan tiada apa-apa berlaku.
Malah penulis juga yakin perhimpunan yang bakal menyaksikan kehadiran terbesar orang Melayu tersebut sama sekali tidak berniat mengganggu atau menggugat kaum lain. Orang Melayu dan umat Islam hanya mahu menzahirkan pandangan mereka berhubung ICERD.
Lagipun setakat ini ratifikasi ICERD hanya ditangguh bukan dibatalkan, apa jaminan ia tidak akan diratifikasi di masa depan selagi tidak diputuskan atau ‘digazetkan’ secara rasmi di Parlimen?
Apatah lagi himpunan ICERD itu sudah dirancang lebih awal dan bukannya diputuskan selepas kes rusuhan di Subang Jaya yang disahkan tiada kaitan dengan perkauman. Oleh itu perhimpunan tersebut perlu dibenarkan untuk diteruskan.
Seperti mana perhimpunan Bersih sebelum ini, pihak polis boleh melakukan rundingan dengan penganjur bagi memastikan semua peraturan dan undang-undang dipatuhi. Kita tidak mahu sebarang keputusan tidak membenarkan perhimpunan berkenaan mewujudkan persepsi tidak baik kepada kerajaan. Ia memandangkan pihak penganjur sudah membuat pelbagai persiapan bagi menjayakannya.
Orang Melayu berhak berhimpun dan sudah pasti perhimpunan mereka bukan bertujuan untuk menunjukkan kekuatan atau membuat desakan berkaitan kaum lain. Perhimpunan itu lambang solidariti orang Melayu mempertahankan apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan. Mereka mengadakannya bagi memberi isyarat kepada puak-puak tertentu janganlah menggugat perkara yang sudah berpuluh-puluh tahun disepakati bersama.
Kesimpulannya, rusuhan kuil tiada kaitan dengan perhimpunan ICERD. Ia adalah dua isu yang berbeza. Oleh itu tidak perlulah mana-mana pihak takut tidak bertempat. Benarkanlah orang Melayu meneruskan perhimpunan dan bukannya terpengaruh dengan kenyataan pihak-pihak tertentu yang mungkin takut dengan kebangkitan orang Melayu.
Justeru orang Melayu perlu memberi fokus kepada perhimpunan berkenaan dan tidak terpengaruh atau terpalit dengan isu kuil Sri Mariamman. Seperti mana kata Pengerusi Perhubungan UMNO Johor, Datuk Ir.Hasni Mohamad, “Perhimpunan 8 Disember ini sama sekali tidak bertujuan membangkitkan sentimen kebencian kepada mana-mana pihak tetapi mahu menyatakan perkara yang sudah terkandung dalam Perlembagaan, tidak usahlah diungkit-ungkit.”










