ARAU 12 Dis. – Sabtu lalu, menjadi detik indah buat kira-kira 50 bekas murid Sekolah Tengku Budriah (STB) apabila dapat bertemu semula selepas hampir 21 tahun meninggalkan alam persekolahan.
Suasana perjumpaan semula murid sesi 1992-1997 yang diadakan di NineR Homestay Kampung Alor Merah di sini, ternyata meriah sekali gus dapat mengubati kerinduan mereka dan bersama-sama mengimbas kembali memori zaman persekolahan.
Ternyata pertemuan itu meninggalkan kenangan manis bagi mereka seterusnya mengukuhkan jalinan persahabatan meskipun terpisah sejak sekian lama.
Lebih manis, majlis berkenaan turut diserikan dengan kehadiran Guru Besar STB, Azhar Darus dan bekas guru mereka seperti, Ibtisam Othman serta Hashimah Mat Noor.
Penyelaras program, Ruhaifi Roslan, 33, berkata, persediaan untuk mengadakan majlis itu diatur sejak empat bulan lalu sebelum digerakkan bersama rakan-rakan lain khususnya bagi mengumpul bekas murid sesi 1992-1997 itu.
Katanya, majlis tersebut secara tidak langsung dapat mengubat kerinduan terhadap rakan-rakan lama yang sekian lama terpisah.
“Alhamdulilah majlis ini berlangsung dengan lancar. Terima kasih kepada rakan-rakan yang memberi komitmen terbaik dalam merealisasikan majlis perjumpaan semula ini.
“Insya-Allah kita akan menganjurkan lagi majlis seperti ini dengan skala yang lebih besar selepas ini,” katanya.
Seorang bekas murid yang hadir pada majlis itu, Haryani Fuad, 33, berkata, dia yang menetap di Johor tidak melepaskan peluang untuk hadir pada program tersebut bagi bertemu rakan-rakan lamanya.
“Saya harap program ini dapat diteruskan lagi selepas ini dan hubungan antara kami bekas murid STB akan sentiasa berkekalan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











