KUALA LUMPUR 13 Dis. – Bekas pemimpin UMNO terdiri daripada Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang bertindak keluar parti semalam menzahirkan untuk menjadi anggota Bebas.
ADUN Karanaan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, pihaknya menyambut baik tawaran itu tetapi mahu mengambil masa untuk menentukan hala tuju parti.
“Kita melihat tawaran yang dibuat Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal untuk menyertai partinya dengan hati terbuka tanpa apa-apa prasangka.
“Bagaimanapun kita telah menyatakan semalam mahu menjadi anggota Bebas buat sementara waktu dan mengambil masa untuk muhasabah sebelum memutuskan haluan politik kami seterusnya,” katanya ringkas ketika dihubungi Utusan Malaysia menerusi Aplikasi Whatsapp di sini hari ini.
Media hari ini melaporkan Mohd. Shafie yang juga Ketua Menteri tidak meletakkan sebarang syarat untuk menerima kemasukan 14 bekas wakil rakyat UMNO bagi menyertai Warisan. – UTUSAN ONLINE











