Bekalan ikan mencukupi - Utusan Malaysia

Bekalan ikan mencukupi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 3 Dis. – Bekalan ikan segar dan sejuk beku dijamin mencukupi bagi menampung permintaan rakyat terutama di Pantai Timur sepanjang musim tengkujuh ini.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Munir Mohd. Nawi berkata, walaupun kekurangan bekalan akibat nelayan Pantai Timur tidak turun ke laut pada masa ini namun keadaan ditampung dengan 40,000 tan ikan yang telah di­sejuk beku sejak Mac lalu.

Katanya, persatuan nelayan negeri dan kawasan di seluruh negara telah menyimpan sebahagian stok ikan di sam­ping turut mendapatkan sumber hasil laut dari Pantai Barat dan sumber import.

“Kekurangan bekalan kebiasaannya pada tahun-tahun sebelum ini membabitkan spesis tertentu, ikan ada banyak segmen pasaran seperti ikan selayang dan pelaling dengan ada sebahagiannya dibawa dari Pantai Barat untuk memenuhi keperluan di Pantai Timur.

“Dari segi harga pula akan berlaku sedikit peningkatan tetapi tidak begitu ketara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Latihan Antarabangsa Penilaian Bekalan dan Dinamik Populasi negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Pusat Pembangunan Perikanan Asia Tenggara (Seafdec)/Jabatan Pengurusan dan Pembangunan Sumber-sumber Perikanan Marin (MFRDMD), Taman Perikanan Cendering, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengarah Perikanan nege­ri, Zawawi Ali; Pengarah Seafdec/MFRDMD, Raja Bidin Raja Hassan dan Pengarah Akademi Perikanan Malaysia, Ruzaidi Mamat.

Kursus latihan selama seminggu itu turut disertai lapan peserta dari Bangladesh di samping lima pegawai tempatan bagi bertukar-tukar kepakaran dan pengalaman mengenai penilaian bekalan hasil laut.

Dalam perkembangan lain, Munir berkata, sumber perikanan pantai negara ketika ini berada pada tahap membimbangkan dan jika tidak diuruskan dengan baik akan menyebabkan kemerosotan begitu pantas.

Katanya, hal itu disebabkan ketirisan sumber yang banyak akibat pencerobohan nelayan asing dan penggunaan peralatan seperti pukat tunda.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN