TANJUNG MALIM – Empat sekeluarga termasuk seorang bayi perempuan berusia lima bulan menghadapi detik-detik cemas apabila kereta yang dinaiki mereka terbabas di Kilometer 380, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pada pukul 10.15 pagi itu, bayi tersebut yang duduk di kerusi keselamatan kanak-kanak di bahagian kereta jenis Perodua Myvi itu hanya mengalami kecederaan ringan.
Ibu bayi berusia 31 tahun pula mengalami kecederaan parah manakala bapa dan ibu saudaranya pula hanya cedera ringan.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Slim River, Yusli Abd. Latif berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 10.18 pagi sebelum sepasukan anggota bergegas ke tempat kejadian.
“Tiba di tempat kejadian, anggota membantu mengeluarkan kesemua mangsa yang cedera dan mereka dihantar ke Hospital Slim River bagi menerima rawatan lanjut.
“Bayi tersebut mengalami kecederaan di bahagian telinga dan kepala dipercayai terkena serpihan kaca kereta yang pecah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Tambah Yusli, ibunya yang duduk di bahagian penumpang hadapan mengalami kecederaan parah manakala bapanya yang memandu kereta dan ibu saudaranya yang duduk di bahagian belakang kenderaan hanya mengalami kecederaan ringan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu kereta dinaiki mangsa terbabas sendiri.
“Bagaimanapun kami belum menerima laporan kemalangan tersebut,” katanya. – K! ONLINE









