JASIN 13 Dis. – Seorang bayi lelaki berusia setahun dua bulan ditemukan mati lemas di dalam baldi di bilik air di rumahnya di Jalan Pangkalan Lambak, Sungai Rambai di sini hari ini.
Muhammad Arash Zahrain Osman, ditemukan oleh ibunya dalam keadaan tertonggeng di dalam baldi dan tidak sedarkan diri kira-kira pukul 1 petang.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Arshad Abu berkata, ibu mangsa yang berusia lingkungan 30-an sebelum itu menggunakan tandas untuk menguruskan abang mangsa berusia dua tahun yang membuang air besar.
“Ibu bapa mangsa kemudian menikmati makan tengah hari bersama-sama manakala tiga lagi anak mereka masing-masing berusia 2, 7 dan 10 tahun bermain di dalam bilik utama.
“Suami isteri itu hanya menyedari kejadian menimpa mangsa yang merupakan anak keempat mereka selepas terdengar bunyi air dari dalam tandas,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Arshad, mangsa kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Sungai Rambai oleh keluarganya namun disahkan telah meninggal dunia.
“Pemeriksaan secara fizikal ke terhadap tubuh bayi itu mendapati tiada sebarang tanda kecederaan luaran.
“Bayi berkenaan masih memakai lampin pakai buang tanpa baju dan seluar. Setakat ini siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian itu,” katanya.
Katanya, mayat Muhammad Arash dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar, Johor untuk bedah siasat dan kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – UTUSAN ONLINE











