Bawa ke mahkamah jika tidak berpuas hati - Nik Omar - Utusan Malaysia

Bawa ke mahkamah jika tidak berpuas hati – Nik Omar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 11 Dis. – Lembaga Pengarah Maahad Darul Anuar meminta mana-mana pihak yang ingin mengambil alih sekolah warisan keluarga bekas Menteri Besar, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu supaya merujuk kepada pihak berautoriti atau membawanya ke mahkamah.

Pengerusi Lembaga Pengarah Darul Anuar, Nik Omar Nik Abdul Aziz berkat, sehingga hari ini, pihaknya berpandangan masih mempunyai kuasa sepenuhnya terhadap sekolah tersebut.

Beliau berkata, ini kerana bermula Mei 2008, bapanya telah menyerahkan mandat atau wasiat Pemegang Amanah Darul Anuar kepadanya selaku anak lelaki sulung.

“Selepas penyerahan oleh almarhum Tok Guru Nik Aziz (ATGNA), (Maahad) Darul Anuar mewujudkan Lembaga Pengarah dipengerusikan oleh saya dengan persetujuan ATGNA sendiri.

“Lembaga ini adalah badan tertinggi dalam menguruskan pentadbiran dan polisi Darul Anuar. Lembaga Pengarah tidak pernah pada bila-bila masa berniat menyerahkan pentadbiran Darul Anuar kepada Yayasan Islam Kelantan (YIK),” katanya dalam kenyataan dihantarkan dalam laman Facebook miliknya, di sini hari ini.

Pertikaian mengenai pengurusan sekolah tersebut bermula apabila pada tahun 2006, Pertubuhan Keluarga Nikamatillah (keluarga Nik Abdul Aziz) telah menghantar permohonan kepada YIK untuk mengambil alih sekolah tersebut disebabkan jumlah pelajar yang semakin merosot.

YIK dikatakan telah meluluskan permohonan Keluarga Nikmatillah pada Disember 2016 bermula pengambilalihan pengurusan bermula sesi persekolahan Januari 2019.

Nik Omar yang juga bekas calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Panchor berkata, sewajarnya semua pihak menghormati wasiat ATGNA dan tidak secara sewenang-wenangnya cuba mengambil alih atau mengganggu Darul Anuar.

“Adalah amat dikesali apabila ada pihak tidak bertanggung jawab telah menguruskan pendaftaran terbuka pelajar baharu di dalam kawasan Darul Anuar tanpa izin Lembaga Pengarah.

“Lembaga Pengarah beranggapan tindakan ini satu pencerobohan yang bertentangan dengan syarak dan moral. Sebagai pewaris wasiat, Lembaga Pengarah akan mempertahankan hak sebagai Pemegang Amanah ke atas Darul Anuar sebagai legasi pendidikan ATGNA,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya akan terus beroperasi dan mengendalikan pendaftaran pelajar baharu bagi sesi 2019. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN