Baru Bian kekal Pengerusi MPN PKR Sarawak - Utusan Malaysia

Baru Bian kekal Pengerusi MPN PKR Sarawak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 16 Dis. – Meskipun gagal hadir dalam mesyuarat bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kuching, Sarawak semalam, namun Baru Bian tetap dilantik semula sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR negeri.

Baru yang juga Menteri Kerja Raya gagal menghadiri mesyuarat dengan Anwar dan 27 daripada 29 ketua cabang Sarawak semalam kerana menjalankan tugas rasmi di Lawas.

Menurut sumber PKR Sarawak, selain Baru, Ketua Cabang PKR Sibuti, Mohdar Ismail juga gagal hadir dalam mesyuarat tersebut.

“Mesyuarat tersebut turut menjalankan undian dalam kalangan ketua cabang parti bagi berbincang dan memilih Pengerusi MPN tetapi undian itu hanya diketahui oleh Presiden.

“Walau bagaimanapun, kami mengetahui 22 ketua cabang PKR negeri yang hadir dalam mesyuarat tersebut mengundi Baru supaya kekal sebagai Pengerusi MPN PKR Sarawak,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil memaklumkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh, dilantik sebagai Pengerusi PKR Pahang manakala Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar sebagai Pengerusi PKR Pulau Pinang.

Khamis lalu, PKR mengumumkan enam pengerusi MPN iaitu Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak (Perak); Amiruddin Harun (Negeri Sembilan); Datuk Johari Abdul (Kedah); Datuk Christina Liew Chin Jin (Sabah); Zahir Hassan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) dan Halim Bachik (Melaka).

Kelmarin, PKR mengumumkan lima lantikan baharu Pengerusi MPN iaitu Hassan Abdul Karim (Johor), Azan Ismail (Terengganu), Amran Kamarudin (Perlis), Amirudin Shaari ( Selangor) dan Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor​​​​​ (Kelantan).​​ – UTUSAN ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN