MADRID 11 Dis. – Jurulatih Barcelona, Ernesto Valverde menegaskan tiada belas kasihan untuk Tottenham Hotspur apabila kedua-dua pasukan bertemu pada aksi terakhir peringkat kumpulan Liga Juara Juara Eropah di Camp Nou awal pagi esok.
Walaupun sudah layak lebih awal ke pusingan kedua, skuad Catalan berjanji tidak akan ‘beri muka’ kepada kelab Liga Perdana Inggeris itu yang ketika ini sedang terdesak untuk mencari kemenangan dalam aksi penentuan itu.
Spurs sedang bersaing dengan Inter Milan untuk mengiringi juara Kumpulan B, Barcelona dengan kedua-dua pasukan perlu menang untuk muncul naib juara kumpulan. Inter akan menentang pasukan yang sudah pun tersingkir daripada persaingan, PSV Eindhoven dalam satu lagi aksi yang akan dilangsung serentak.
“Saya akan buat perubahan dalam barisan pemain yang akan diturunkan. Anda akan lihat nanti sama ada Lionel Messi akan diturunkan atau pun tidak. Tetapi Luiz Suarez saya tidak bercadang untuk membenarkan dia beraksi lagi.
“Kami menghormati Inter dan Spurs serta pertandingan ini. Itu sebabnya kami akan turun dengan matlamat untuk menang dan kekal kompetitif seperti yang selalu kami amalkan,” kata Valverde. – Reuters










