Bapa sedih hasrat nikahkan sendiri Najihah, Adib tidak kesampaian - Utusan Malaysia

Bapa sedih hasrat nikahkan sendiri Najihah, Adib tidak kesampaian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Bapa kepada Nurul Najihah Mohd. Radzi, tunang Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim meluahkan rasa sedih apabila hasratnya untuk menikahkan sendiri anak perempuannya dalam majlis pernikahan yang sepatutnya berlangsung semalam tidak kesampaian.

Menurut Mohd. Radzi Bedah, 51, dia sekeluarga berasa sayu apabila majlis pernikahan yang dijadualkan berlangsung di Masjid Pantai Johor di sini petang semalam terpaksa dibatalkan setelah apa yang berlaku kepada Allahyarham.

“Kenduri perkahwinan dengan jemputan sebanyak 1,500 tetamu di rumah ini hari ini juga dibatalkan, saya dan isteri hanya memenuhi undangan kenduri di rumah jiran,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Damai, Mentaloon di sini hari ini.

Kata beliau, meskipun masih bersedih dengan pemergian Allahyarham yang disifatkannya sebagai seorang yang baik dan pendiam, dia sekeluarga reda dengan ketentuan Allah tersebut.

“Walaupun tiada majlis perkahwinan, namun hubungan antara kami dan keluarga Allahyarham tidak akan terputus kerana kami sudah menganggap mereka seperti saudara sendiri,” ujarnya.

Berhubung keadaan Nurul Najihah, katanya, anak kedua daripada sembilan beradik itu kelihatan semakin baik apabila sudah mahu keluar rumah dan memandu kereta sendiri pada hari ini berbanding sebelum ini yang banyak berkurung di dalam bilik.

“Najihah bagaimanapun masih belum bersedia untuk bertemu dengan orang ramai kerana memerlukan masa untuk menenangkan fikirannya,” jelasnya sambil memberitahu anaknya mengenali Allahyarham sejak empat tahun lalu sebelum bertunang pada Mac lepas. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×