KOTA BHARU – Seorang bapa dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mencabul anak gadisnya berusia 17 tahun di Machang, dekat sini awal bulan ini.
Buruh yang berusia 48 tahun itu mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan perbuatan melibatkan kontak fizikal tanpa persetubuhan terhadap anak perempuannya berusia 17 tahun di sebuah rumah tanpa nombor di Machang, kira-kira pukul 2 pagi pada 7 Disember lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 (1) Akta yang sama.
Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dijatuhkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan juga boleh dikenakan sebatan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Abu Bakar manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – K! ONLINE










