Bantu perkasa usahawan Mee Masjid - Utusan Malaysia

Bantu perkasa usahawan Mee Masjid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 1 Dis. – Industri pembuatan mi ku­ning pada masa kini semakin berkembang dan berpotensi tinggi apabila mendapat banyak permintaan dalam pasaran, namun penglibatan kaum bumiputera dalam industri ini dilihat masih kecil.

Melihatkan potensi dan peluang yang ada menerusi produk berkenaan, ia mendorong anak muda kelahiran Kuala Lumpur ini untuk mengusahakan perniagaan mi kuning dengan jenama Mee Masjid.

Muhammad Shazwan Md. Sabidi, 35, mula melibatkan diri dalam perniagaan mi ku­ning pada tahun 2012 dan aktif mengkomersialkan produknya setahun kemudian.

Menurut bapa kepada dua orang cahaya mata ini, idea untuk memulakan perniagaan mi kuning terhasil apabila melihat mi kuning buatan bumiputera tidak banyak dalam pasaran.

“Sebagai seorang yang agak cerewet dalam pemilihan makanan, sudah pasti saya mahu mendapatkan makanan yang terbaik dan berkualiti untuk diberikan kepada keluarga saya.

“Melihatkan sukar untuk mendapatkan mi kuning yang halal dan dihasilkan sendiri oleh orang Melayu, saya akhirnya nekad untuk cuba menghasilkan produk mi kuning sendiri.

“Sebelum ini saya pernah cuba menjalankan pelbagai jenis perniagaan namun tidak berjaya, tetapi disebabkan minat mendalam untuk terus berniaga, saya memilih mi ku­ning sebagai produk perniagaan saya,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Segambut, di sini baru-baru ini.

Kongsi Muhammad Shazwan dengan lebih lanjut, pada permulaannya, perniagaan itu hanya dibuat secara kecil-kecilan dan pelanggan-pelanggannya pula terdiri daripada jiran tetangga dan pengusaha restoran di kawasan tempat tinggalnya.

“Pada waktu itu, saya mendapat tempahan daripada sebuah restoran dan bermula dengan jualan sebanyak lima kilogram sehari dan tempahan semakin bertambah dari hari ke hari.

“Lama-kelamaan, hasil daripada bualan mulut ke mulut penduduk sekitar, saya berjaya membekalkan mi kuning ini ke masjid, surau, kantin sekolah dan sebagainya. Semakin hari, permintaan untuk Mee Masjid semakin meningkat.

“Saya perlu menambah bilangan tenaga kerja dan juga peralatan, namun ia memerlukan modal tambahan dan agak sukar bagi saya yang pada ketika itu hanya berpendapatan bersih sebanyak RM500 sebulan,” katanya.

Jelas Muhammad Shazwan lagi, selama beberapa tahun dia berhempas pulas, kedua orang tuanya banyak membantu daripada segi proses dan resipi untuk menghasilkan mi kuning terbaik demi memenuhi permintaan pelanggan.

Berkat doa kedua orang tua dan sokongan ahli keluarga yang lain, Muhammad Shazwan mampu memperoleh pendapatan bersih mencecah RM2,000 sebulan hasil jualan mi kuning.

Pada 2017, dengan pertolo­ngan ayahnya, Md. Sabidi Abdullah, 69, yang memohon Skim Bantuan Perniagaan Baitulmal, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), mereka berjaya mendapatkan modal untuk membesarkan lagi perniagaan Mee Masjid.

Bantuan perniagaan seba­nyak RM3,000 itu digunakan untuk membeli peralatan tambahan dan menambah bahan-bahan mentah untuk melipat gandakan pengeluaran Mee Masjid.

“Menerusi bantuan itu, perniagaan kami semakin berkembang dan daripada situ saya mendapat idea untuk mempelbagaikan produk perniagaan dengan hanya menggunakan mi kuning.

“Sekali lagi kami memohon bantuan perniagaan daripada MAIWP, dan melihatkan potensi idea atau cadangan yang dibentangkan itu, pihak MAIWP memberi bantuan perniagaan buat kali kedua sebanyak RM5,000 pada tahun ini.

“Bantuan itu digunakan untuk membeli kelengkapan kedai seperti khemah dan meja makan. Akhirnya,kami berjaya membuka gerai menjual makanan berasaskan mi kuning seperti mi ban­dung, mi goreng, mi hailam dan sebagainya,” ujarnya.

Muhammad Shazwan juga berkata, dia sangat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak MAIWP kerana turut bermurah hati menyediakan tapak kepadanya untuk berniaga.

Peluang yang diberikan MAIWP digunakan sebaiknya apabila kini dia berjaya mempelbagaikan lagi menu tambahan di gerainya seperti masakan panas, selain turut memiliki tiga orang pekerja sendiri.

Dalam masa yang sama, Muhammad Shazwan turut berkongsi kisah dan cabaran yang harus ditempuhi sepanjang menjalankan perniagaan itu.

“Antara cabaran besar dalam menjalankan perniagaan mi ku­ning ini adalah bekalan tepung berkualiti dan murah yang agak sukar untuk diperoleh. Kebanyakan tepung dalam pasaran dijual pada harga yang agak tinggi dan ini membuatkan margin keuntungan perniagaan kami sangat kecil.

“Bukan itu sahaja, harga pasaran mi kuning untuk jualan borong juga agak rendah selain terpaksa bersaing dengan jenama-jenama mi kuning yang lain,” katanya.

Tambahnya, Mee Masjid keluaran bumiputera itu juga dihasilkan dengan hanya menggunakan mesin semi automatik dan ini menyebabkan kuantiti pengeluarannya terhad, namun dari segi kualiti pula ia lebih terjamin.

Bercerita mengenai keistimewaan Mee Masjid, Muhammad Shazwan berkata, mi kuning yang dihasilkannya menggunakan resipi sendiri dan bahan penstabil yang digunakan juga dihasilkan sendiri serta mendapat kelulusan makmal.

“Mee Masjid adalah mi ku­ning yang selamat dimakan ke­rana telah melalui proses pembuatan yang bersih dan kualiti yang terjaga.

“Sebagai pemberi bantuan perniagaan, pihak MAIWP juga sentiasa membuat penilaian dari semasa ke semasa. Menerusi peluang yang diberikan MAIWP, kami akan berusaha dengan lebih gigih untuk menjadikan perniagaan sebagai sumber pendapatan demi meningkatkan taraf ekonomi,” katanya.

Mee Masjid keluaran bumiputera itu dijual pada harga RM3.50 sekilogram dan boleh didapati di Medan Niaga Masjid Al-Firdaus, Segambut Luar, Kuala Lumpur atau boleh ditempah dengan menghubungi talian 017-3278910.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN