KUALA TERENGGANU 13 Dis. – BANJIR di Terengganu semakin buruk dan setakat ini seorang guru dipercayai menjadi mangsa pertama yang hilang selepas dikhuatiri lemas dalam kejadian di Sungai Setiu, di sini petang ini.
Jurucakap polis berkata, mangsa, Abd. Rauf Mohd. Zulkurnain, 27, dikatakan dihanyutkan air deras ketika sedang mandi bersama adiknya, Abdul Wafiy serta dua lagi rakan mereka.

Ujarnya, adik mangsa, Abdul Wafiy dalam aduannya memberitahu, sebelum itu dia bersama mangsa dan dua rakannya pergi ke lokasi tersebut untuk mandi.
“Semasa mereka berempat mandi di situ, mangsa yang ketika itu berada di tengah-tengah sungai gagal berenang sebelum hilang dibawa arus deras. Mangsa menetap di 325, Jalan Penarik Bandar Permaisuri, Setiu,” katanya.
Sementara itu, setakat pukul 6.20 petang ini, jumlah mangsa banjir mencatatkan peningkatan kepada seramai 897 orang daripada 313 keluarga melibatkan tiga daerah iaitu Hulu Terengganu, Kemaman dan Setiu.
Berdasarkan portal Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat pukul 6.20 petang ini, kesemua mangsa ditempatkan di 14 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di tiga daerah berkenaan.
Menurut portal itu, Hulu Terengganu merupakan daerah paling teruk dilanda bencana itu menyebabkan 627 mangsa daripada 249 keluarga dipindahkan ke 10 PPS setelah tempat tinggal mereka dinaiki air berikutan cuaca buruk dan hujan lebat berterusan sejak semalam.
“Daerah kedua teruk dilanda banjir ialah Kemaman di mana seramai 257 mangsa daripada 61 keluarga dipindahkan di tiga PPS di daerah tersebut manakala di Setiu, seramai 13 mangsa banjir daripada tiga keluarga turut ditempatkan di PPS daerah berkenaan,” jelasnya.











