KUALA TERENGGANU 14 Dis. – Sebanyak enam laluan di sekitar tiga daerah di negeri ini ditutup kepada semua lalu lintas ekoran banjir yang melanda sejak kelmarin.
Setakat pukul 3 petang ini, laluan yang terlibat ialah di Jalan Batu 24/Pengkalan Ajal dan Jalan Matang/Nibong/Kuala Telemong di Hulu Terengganu manakala di Setiu membabitkan Jalan Kampung Bukit /Alur Lik.
Di Kemaman, dua laluan yang turut ditutup untuk semua kenderaan ialah di Jalan Chukai-Air Putih di Simpang Felda Seberang Tayor dan Jalan Pelantoh di Kampung Tebak.
Bagi Jalan Lubuk Lesong di Simpang Tiga, Lubuk Lesong-Pelatoh di daerah sama pula ditutup untuk kenderaan ringan.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan menggunakan jalan alternatif bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku. UTUSAN ONLINE











