Bangkitnya nasionalis Melayu - Utusan Malaysia

Bangkitnya nasionalis Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu menunjukkan perubahan landskap politik Malaysia setelah Barisan Nasional (BN) mengalami kekalahan buat pertama kalinya dalam tempoh 60 tahun memerintah Malaysia. Pakatan Harapan (PH) berjaya memenangi PRU-14 dan dilantik sebagai parti pemerintah baharu dan berusaha memenuhi aspirasi rakyat melalui slogan reformasi yang dicanangkan.

Sungguhpun begitu, pasca PRU-14 memperlihatkan isu tentang kedudukan orang Melayu mula dibangkitkan apabila tindakan kerajaan PH cuba mempersoalkan kedudukan kaum majoriti itu seperti mana yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Antaranya usaha meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Me­ngenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Usaha Meratifikasi ICERD

Kira-kira sebulan lalu, yakni sekitar Oktober, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha Moorthy mengeluarkan satu kenyataan perlunya usaha untuk meratifikasi enam bentuk perjanjian antarabangsa termasuklah ICERD. Kenyataan beliau ini mengundang kontroversi apabila respon yang diterima agak negatif. Beliau menerima banyak kritikan daripada kelompok orang Melayu.

Rata-rata orang Melayu tidak bersetuju dengan saranan daripada menteri tersebut walaupun tiada kata putus dikeluarkan beliau. Respon daripada cadangan beliau itu, kumpulan penyokong orang Melayu yang diketuai oleh pimpinan UMNO dan Pas mengeluarkan kenyataan media bahawa satu himpunan besar-besaran akan diadakan bagi menyatakan bantahan terhadap usaha meratifikasi ICERD yang dijadual diadakan pada 8 Disember ini.

Sekilas pandang, ICERD adalah salah satu perjanjian yang termaktub bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), namun konvensyen itu bukan perjanjian yang wajib ditandatangani oleh mana-mana negara ahli PBB. Konvensyen itu didraf pada 1954 dan secara rasmi dilaksanakan pada 1966. Di Malaysia, terdapat maklumat yang menyatakan bahawa diskriminasi kaum telah berlaku. Ini mendorong kepada usaha untuk meratifikasikan ICERD oleh pihak tertentu. Usaha ini acap kali dicanangkan di ruang awam yang pada akhirnya Waytha Moorthy menyarankan agar ICERD diratifikasikan.

Namun begitu, usaha menteri ini disanggah oleh beberapa pihak yang apabila didapati ICERD jelas bertentangan dengan Perkara 153 Perlembagaan. Perlembagaan telah menetapkan kedudukan istimewa orang Melayu seperti mana yang telah dipersetujui dalam kontrak sosial oleh the founding fathers dalam pembentukan Tanah Melayu.

Pada 23 Novembe lalu, kerajaan PH mengumumkan tidak akan menandatangani ratifikasi ICERD. Pengumuman ini dibuat oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang berpandangan bahawa kerajaan pemerintah akan terus mempertahankan intipati Perlembagaan Persekutuan dan usaha meratifikasi ICERD dilihat mustahil kerana memerlukan sokongan dua pertiga majoriti ahli Parlimen kerana membabitkan proses meminda intipati perlembagaan.

Hala Tuju Perhimpunan

Walaupun usaha ratifikasi ICERD tidak akan dilakukan, namun rancangan perhimpunan besar-besaran pada 8 Disember masih tetap diteruskan. Jadi, apakah signifikannya perhimpunan ini diteruskan?

Pertama, perhimpunan itu bakal memperlihatkan pengukuhan prinsip orang Melayu dalam menentang sebarang usaha meratifikasikan ICERD. Ini jelas ditunjukkan iaitu bagaimana kelompok orang Melayu terus menerus menolak usaha meratifikasi ICERD. Walaupun Perdana Menteri baru-baru ini mengumumkan tidak akan meratifikasi ICERD, perhimpunan ini tetap akan diteruskan dalam usaha meneguhkan prinsip penolakan orang Melayu terhadap ICERD, dalam masa yang sama meraikan keputusan yang telah dibuat oleh Perdana Menteri. Penentangan berterusan ini juga didorong oleh kenyataan media sesetengah menteri yang masih melihat ICERD sebagai satu kewajaran untuk diratifikasi meskipun bertentangan dengan pengumuman Perdana Menteri. Oleh itu, potensi ICERD untuk diratifikasi masih wujud memandangkan masih ada usaha untuk mewajarkan tindakan ini.

Kedua, perhimpunan ini boleh menjadi penanda aras kesatuan orang Melayu dalam mempertahankan hak mereka. Kesepaduan ini diperlihatkan dengan pengukuhan permuafakatan antara UMNO-Pas dalam usaha memperjuangkan hak politik orang Melayu-Islam yang dilihat kian terancam khususnya era pasca PRU-14.

UMNO dengan laras perjuangan nasionalisme Melayu dan Pas yang berteraskan prinsip Melayu-Islam dilihat sebagai gandingan terbaik pakatan pembangkang buat masa ini untuk menjadi pengimbang kepada perkembangan pengaruh kerajaan PH sekali gus menjadi penanda aras kepada pengukuhan kesepaduan dan kesatuan orang Melayu. Ketiga, klimaks perhimpunan ini berpotensi membangkitkan semula semangat nasionalisme Melayu yang dikatakan sudah lama terpadam sejak merdeka. Sebelum merdeka, semangat nasionalisme begitu kuat dijunjung dalam usaha menentang penjajah.

Kata William Roff yang menulis buku perihal Malay Nationalism, penentangan daripada kumpulan nasionalisme yang didominasi oleh orang Melayu ketika itu datang daripada tiga kelompok utama iaitu golongan atasan Islam yang warak, intelek-intelek Melayu dan kelompok aristokrat Melayu yang rapat dengan istana.

Tiga kelompok ini jika dilihat dalam mobilisasi perhimpunan 8 Disember 2018 begitu dominan yang rata-ratanya mereka ini seperti kelompok atasan Islam yang warak merujuk kepada kelompok ulama yang dalam Pas, intelek-intelek Melayu yang mendapat pendidikan tinggi khususnya daripada kelompok parti UMNO dan sebahagian daripada Pas serta kumpulan aristokrat moden yang mempunyai hubungan rapat dengan istana memandangkan sultan atau raja berperanan sebagai penjaga hak orang Melayu.

Perhimpunan ini juga dilihat mampu menjadi pencetus kepada semangat nasionalisme Melayu dalam konteks orang Melayu mempertahankan hak mereka sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tuntasnya, selari dengan prinsip demokrasi dan pemerintahan berasaskan undang-undang, sekiranya perhimpunan ini tidak bertentangan dengan aspek perundangan, eloklah kiranya kerajaan PH memberikan ruang kepada penganjur dan penyokong dalam usaha mengeskpresikan pandangan mereka dalam ruang awam terutamanya berkenaan hak orang Melayu.

Justeru, dengan situasi semasa landskap politik Malaysia hari ini, timbul persoalan, salahkah menjadi Melayu yang mempertahankan hak mereka di tanah mereka sendiri?

Penulis ialah Pensyarah Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Raub.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN