Banggakan negara, negeri sendiri - Utusan Malaysia

Banggakan negara, negeri sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 31 Dis. – Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengajak semua rakyat untuk membanggakan negara dan negeri sendiri selain menguatkan kembali ukhwah persahabatan supaya tiada anasir luar dapat menggoyahkan semangat anak Perak tercinta.

Beliau berkata, fahaman kebencian juga harus ditolak agar Malaysia terus terpelihara sekali gus mencipta kejayaan demi kejayaan dengan sokongan doa dan keazaman oleh seluruh rakyat.

“Saya percaya dan yakin bahawa Perak bukan sahaja gemilang dari segi ekonominya, malah perpaduan masyarakatnya yang bernilai tinggi, dicemburui oleh negara-negara lain.

“Harapan saya supaya kita mengekalkan keamanan dan kesejahteraan yang kita kecapi hari ini sebagai landasan untuk kita membina kejayaan lebih gemilang pada hari esok,” katanya dalam perutusan rasmi tahun baharu 2019 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal mengakui, tahun 2018 menyaksikan pelbagai pancaroba dan liku kejayaan biarpun terpaksa berdepan dengan banyak cabaran sejak mengambil alih tampuk pentadbiran.

Namun katanya, sebagai sebuah pentadbiran yang sentiasa merasai denyut nadi rakyat, kerajaan Pakatan Harapan Perak akan memberi keutamaan kepada segala usaha untuk menunaikan harapan setiap lapisan rakyat.

Sehubungan itu katanya, bertemakan ‘Bersama Memacu Harapan’, Bajet 2019 negeri yang telah dibentangkan, memfokuskan kepada lima teras utama iaitu pengukuhan ekonomi dan kelestarian sumber negeri, kesejahteraan ekonomi rakyat, penggerakan Revolusi Industri 4.0, perluasan jaringan strategik pembangunan negeri dan pemastian perbelanjaan mengikut keperluan.

“Kerajaan negeri tidak sama sekali akan berganjak, malah akan terus mara mengibarkan panji-panji harapan rakyat serta mengembalikan sinar kegemilangan tanah tercinta,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN