TELUK INTAN 9 Dis. – Selain dikenali sebagai lubuk untuk kaki pancing, muara Sungai Perak dekat sini memiliki tarikan ekopelancongan yang belum diterokai sepenuhnya iaitu Pulau Bangau yang menjadi tempat persinggahan pelbagai spesies burung.
Ada ketikanya, beribu-ribu burung daripada pelbagai spesies antaranya bangau putih, puchong, gembala kerbaru, punai, helang, layang-layang singgah di pulau tersebut dan biasanya ruangan yang ada didominasi oleh burung bangau.

Untuk sampai ke Pulau Bangau, pengunjung perlu menaiki bot dari jeti di bandar Teluk Intan yang mengambil masa kira-kira 10 minit sahaja.
Tidak sukar untuk mendapatkan bot kerana nelayan darat di sini sedia menawarkan perkhidmatan dengan bayaran yang berpatutan.
Tinjauan mendapati jumlah burung paling banyak adalah pada waktu pagi dan kicauan menguasai pulau tersebut apabila terbang dalam formasi berkumpulan seperti mahu ‘berperang’.

Sebenarnya, kawanan burung berkenaan mencari makan dan apa yang menariknya, burung-burung berkenaan terbang sejauh sehingga ke Tanjung Karang di Selangor, Sungai Manik dan Seberang Perak di Pasir Salak kerana kawasan berkenaan terdapat sawah padi.
Jika diamati betul-betul, setiap kawanan burung yang terbang seperti ada ketua, jika seekor terbang, maka yang lain akan ikut serta.
Apabila senja, haiwan berkenaan akan kembali berkumpul di pulau berkenaan dengan hinggap di pokok-pokok.
Sementara itu, berdasarkan cerita penduduk setempat, Pulau Bangau berasal daripada hanyutan timbunan sampah dan pokok serta kayu-kayu di Sungai Perak.
Lama-kelamaan, sampah yang lain turut tersekat menyebabkan pasir lumpur semakin bertambah dan apabila air surut, maka tumbuh pokok dan rumput-rumpai sehingga membesar menjadi sebuah pulau.

Sejak itu, pulau berkenaan menjadi tarikan dan destinasi persinggahan burung sehinga dan ada yang membuat sarang.
Disebabkan burung yang paling banyak adalah bangau kawasan itu dikenali sebagai Pulau Bangau.
Lebih menarik, satu kajian tidak rasmi oleh sekumpulan pencinta sejarah pesisir Sungai Perak mendakwa Pulau Bangau merupakan satu-satunya tempat paling banyak terdapat burung bangau di negara ini.










