Bangau Perahu, persalinan Ratu Cantik Malaysia - Utusan Malaysia

Bangau Perahu, persalinan Ratu Cantik Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tidak lengkap penyertaan ratu cantik tanpa rekaan kostum kebangsaan yang menarik perhatian. Elemen tradisional selalunya sinonim dengan rekaan kostum yang melambangkan ciri-ciri kebudayaan sesebuah negara.

Namun baru-baru ini, Malaysia turut mengubah corak permainan mereka dengan mengikut rentak negara-negara lain yang hadir dengan idea inovatif dan tidak tertakuk dengan idea yang sudah lapuk.

Maka muncullah kostum dengan Menara Kembar Petronas pada bahu ratu cantik Miss Universe Malaysia dua tahun lalu dan yang paling menjadi kontroversi rekaan kostum nasi lemak yang lengkap dengan daun pisang pada ratu cantik kita.

Meneruskan tradisi baharu yang lebih segar, wakil ratu cantik dari Malaysia tahun ini pada pertandingan akhir Miss Universe 2018, Jane Teoh, bakal menggayakan kostum kebangsaan yang berdasarkan kenderaan di Malaysia iaitu Bangau Perahu, perahu nelayan yang masih digunakan di Pantai Timur.

Motif Bangau Perahu jelas kelihatan pada kostum tersebut dengan motif bangau diletakkan strategik pada bahu kanan manakala Okok Perahu direka pada bahu kiri dan Caping Perahu direka indah pada bahagian leher.

Pereka fesyen dan kostum, Salleh Hamid menggunakan warna merah, kuning dan biru serta kilauan emas dengan tona unik bagi menaikkan ciri-ciri seperti srikandi.

Pelbagai reaksi diterima sewaktu kostum kebangsaan ini diperkenalkan dan ada yang menyamakan dengan rekaan pakaian srikandi Wonder Woman.

“Saya terinspirasi daripada sejarah budaya Melayu dan kepercayaan tradisi, keaslian dalam seni kraf pembuatan perahu pada zaman dahulu dan seni Melayu ‘awan larat’ yang biasa dilihat dalam seni ukiran.

“Saya cuba mendalami falsafah dan nilai estetika di sebalik bentuk bangau pada perahu yang turut dikaitkan dengan sifat keperwiraan dan pelindung, jadi busana yang dihasilkan juga mempunyai nilai kepahlawanan yang tersendiri untuk membawa identiti Malaysia,” katanya ketika ditemui dalam majlis pratonton kostum kebangsaan Miss Universe Malaysia 2018 di Menara MyEG, Damansara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut kepercayaan tradisional nelayan Melayu di Pantai Timur, aktiviti menangkap ikan di laut sering diselubungi dengan risiko ribut dan ‘gangguan’. Hiasan ukiran pada perahu yang diletakkan di hadapan perahu dianggap sebagai ‘pelindung perahu’ yang biasanya berupa ‘okok’, ‘caping’ dan paling dikenali bentuk bangau.

Kostum kebangsaan ini turut menonjolkan rekaan korset berbentuk seperti perisai yang sarat dengan ukiran ‘awan larat’.

Menghabiskan masa enam bulan untuk mencipta kostum kebangsaan yang unik ini, ia dianggarkan bernilai RM7,000 itu.

“Material EVA Foam digunakan bagi memberi ilusi seperti ukiran kayu. Ditambah dengan juraian labuci pada bahagian bawah baju, kostum tersebut dianggarkan seberat sembilan kilogram.

“Saya mengetahui risiko untuk mendapat kecaman dalam menghasilkan rekaan kostum kebangsaan tetapi saya sudah bersedia kerana bagi saya ia adalah pendapat masing-masing dan saya terima. Tanggungjawab saya adalah mengeluarkan satu budaya dan mengetengahkan dengan sentimental dan falsafah sendiri. Itu cara saya berekspresi,” ujarnya yang meletakkan harapan untuk memenangi pertandingan berprestij ini.

Pada pertandingan akhir Miss Universe 2018 kali ke-67 di Bangkok, Thailand bulan depan, Jane juga bakal menggayakan busana gaun petang ciptaan pereka duo Amaze, Amar Madfie dan Zeed Jameel yang cukup elegan dihiasi dengan taburan manik berkilau bagi menyerlahkan sisi feminin Jane di pentas ratu cantik.

Mengambil inspirasi seni bina ikonik Jambatan Seri Wawasan di Putrajaya, busana ini turut menonjolkan ciri kekuatan dan keyakinan wanita untuk melawan pelbagai cabaran pada era moden ini.

Jane juga akan membawa kalungan mutiara Borneo Pearl untuk segmen Lelongan Hadiah Kebangsaan yang akan diberikan kepada 101 peserta yang akan bertanding pada pertandingan tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN