PRESTASI membanggakan yang ditampilkan pada Sukan Komanwel 2018 dan Sukan Asia 2018 membawa tuah buat jaguh keirin negara, Azizulhasni Awang apabila dinobat sebagai Olimpian Lelaki Terbaik tahun ini.
Anugerah tersebut disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pada Majlis Makan Malam Tahunan dan Anugerah Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di Kuala Lumpur malam tadi.
Bagaimanapun, Azizulhasni tidak dapat hadir pada majlis tersebut memandangkan dia sedang menggalas tugas negara dalam saingan siri Kejohanan Piala Dunia di London ketika ini.
Bekas juara keirin dunia itu ketika dihubungi memanjatkan kesyukuran kerana dianugerahkan gelaran Olimpian Lelaki Terbaik buat julung kalinya sejak bergelar atlet kebangsaan.
“Alhamdulillah syukur ke hadrat ilahi kerana dipilih untuk menerima Anugerah Olimpian Lelaki Terbaik 2018 dan ia merupakan kali pertama dalam karier saya sebagai atlet. Ia sesuatu yang amat bermakna.
“Sudah pasti saya akan jadikan anugerah ini sebagai pembakar semangat serta sumber motivasi dalam setiap kejohanan disertai dan misi memburu tempat ke Sukan Olimpik Tokyo 2020,” kata Azizul.
Di sebalik pencapaian itu, Azizulhasni yang terkenal dengan jolokan Pocket Rocketman turut tidak ketinggalan mengalungkan penghargaan kepada seluruh pihak yang terlibat mendukung kejayaannya selama ini.
“Terima kasih saya ucapkan kepada semua pihak terlibat seperti MOM, Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) yang sentiasa berada di belakang saya memberikan sokongan dan bantuan,” ujarnya.
Sementara itu, Anugerah Olimpian Wanita Terbaik diraih gimnas negara, Amy Kwan dan kedua-dua pemenang itu masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 berserta pingat.
Sebagai rekod, atlet kelahiran Dungun, Terengganu itu tidak membawa pulang sebarang pingat pada Sukan Komanwel, namun semangatnya wajar dipuji apabila sanggup menggalas tanggungjawab negara biarpun mengalami jangkitan virus pada paru-paru.
Bagaimanapun, dia berjaya mempamerkan kebangkitan pada temasya Sukan Asia apabila merangkul pingat emas acara pecut individu dan perak acara pecut berpasukan lelaki serta gangsa menerusi acara kegemarannya, keirin.
Pada masa sama, Azizulhasni bertekad untuk memperagakan kayuhan terbaik di London selepas meraih pingat gangsa pada pusingan ketiga Kejohanan Trek Piala Dunia di Berlin, Jerman dua minggu lalu.











