Audit semula taman permainan awam - Utusan Malaysia

Audit semula taman permainan awam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 23 Dis. – Audit keselamatan secara menyeluruh ke atas semua taman permainan awam perlu dilakukan melibatkan Inspektor Keselamatan Taman Permainan Bertauliah (CPSI) untuk mengelak berlakunya kemalangan terhadap kanak-kanak.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, pihak berkuasa tempatan perlu bekerjasama dengan agensi yang mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut selain membantu kontraktor menyediakan kemudahan selamat serta mematuhi piawaian.

“Terdapat banyak kerosakan seperti laluan pecah, berlubang, lantai yang tidak rata dan lekang serta sebahagian permainan kehilangan pemegang dan tempat berpijak.

“Lantai yang dibuat di taman permainan bertujuan menyerap hentakan tetapi jika perkara itu tidak diselenggara akan menyebabkan kanak-kanak jatuh sekali gus mengakibatkan luka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, masalah itu dikesan selepas Persatuan Keselamatan Taman Permainan Malaysia (PSAM) membuat tinjauan terhadap 40 taman permainan awam di sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan Julai tahun lalu.

“Sebanyak 75.6 peratus taman permainan awam berada dalam keadaan kurang memuaskan manakala selebihnya mempunyai peralatan yang berkarat serta membahayakan kanak-kanak.

“Kementerian kesihatan pula merekodkan sejumlah 530 kanak-kanak mendapatkan rawatan selepas mengalami kemalangan melibatkan taman permainan antara tahun 2014 dan 2016,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN