JOHOR BAHRU 13 Dis. – Kerajaan negeri diminta mengkaji semula mekanisme permohonan pelepasan unit rumah kuota Bumiputera yang tidak terjual di negeri ini.
Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) negeri berkata, langkah itu perlu diambil supaya usaha kerajaan negeri untuk membina 100,000 unit Rumah Mampu Biaya (RMB) menjelang 2023 dapat dicapai.
Menurut REHDA Johor, adalah wajar stok hartanah itu dapat dilepaskan serta dijual bagi menjana pendapatan kepada kerajaan daripada segi pendapatan cukai pintu dan pemilikan bagi mereka yang memerlukan.
“Unit-unit rumah yang tidak terjual itu akan menjadikan stok hartanah menjadi beku dan tidak memberikan keuntungan kepada kerajaan mahu pun kepada pemaju,” menurut kenyataan itu di sini hari ini.
REHDA Johor berkata, permintaan itu juga bagi mengelakkan hartanah yang tidak dijual itu berlaku vandalisme dan akhirnya tidak menguntungkan mana-mana pihak. Tambah kenyataan itu, Belanjawan Johor 2019 yang dibentangkan baru-baru ini menyatakan terdapat 5,988 unit hartanah yang bernilai RM3.8 bilion masih belum terjual di Johor .
“Kita menyokong hasrat kerajaan negeri untuk menyediakan 100,000 unit RMB dan bagi merealisasikan usaha itu, kita berharap polisi baharu dapat diperkenalkan bagi memudahkan antara lain proses kelulusan, pengurangan caj pemajuan dan mempercepatkan tempoh proses kelulusan,” kata kenyataan itu.
REHDA Johor berkata, sasaran 100,000 RMB itu merupakan satu jumlah yang agak tinggi, namun mereka yakin dengan mekanisme yang tepat, jelas dan memudahkan, jumlah tersebut mampu dicapai oleh kerajaan negeri.











