KUALA LUMPUR 30 Dis. – Pusat Pengajian Dasar Awam Institut Strategi dan Kepemimpinan Asia (ASLI) memuji Pelan Kemakmuran Bersama yang dibawa oleh Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Presidennya, Tan Sri Dr. Ramon Navaratnam berkata, dasar baharu yang direncana Bersatu itu mampu dijayakan apatah lagi mampu dikongsi oleh semua rakyat Malaysia.
“Dasar nasional dahulu yang bersifat eksklusif menyebabkan pencapaian negara dikekang dan berada dalam situasi yang terhad.
“Atas sebab itu kita terus terperangkap dalam pendapatan sederhana selain menyebabkan pertumbuhan ekonomi menjadi perlahan dan melebarkan lagi jurang pendapatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Muhyiddin berkata, Pelan Kemakmuran Bersama bukan agenda kaum, sebaliknya rangka strategik nasional untuk memastikan kesamarataan dalam perolehan pegangan ekonomi di Malaysia.
Katanya, kejayaan dasar itu bergantung kepada faktor pertumbuhan ekonomi yang rancak dan mapan, sekali gus memberi peluang setiap lapisan masyarakat berupaya menikmati kesan limpahannya. – UTUSAN ONLINE










