Arul Kanda ke SPRM berkaitan laporan 1MDB - Utusan Malaysia

Arul Kanda ke SPRM berkaitan laporan 1MDB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Bhd. (1MDB), Arul Kanda hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini sebentar tadi dipercayai bagi memberi keterangan berkenaan siasatan pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau tiba pada pukul 9.30 pagi dengan memakai topi berwarna hitam dan berbaju biru namun, menggunakan laluan belakang untuk masuk ke ibu pejabat SPRM.

Selain itu, bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa turut kelihatan di lokasi sama namun, tujuan kehadiran beliau di ibu pejabat SPRM masih belum dapat dipastikan.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, pihaknya akan memanggil Najib, Ali Hamsa, Arul Kanda dan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad. 

Akhbar Kosmo! baru-baru melaporkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad dan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang turut hadir ke ibu pejabat SPRM di sini semalam bagi memberi keterangan berkenaan siasatan kes sama.

Kosmo! pada 26 November lalu melaporkan, Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad mendedahkan bahawa Laporan Akhir Pengauditan 1MDB telah diubah dan Najib tahu mengenai perkara tersebut.

Dua perkara penting yang tidak dimasukkan dalam laporan itu ialah mengenai kehadiran ahli perniagaan yang diburu Low Taek Jho atau Jho Low dalam satu mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB dan status kewangan 1MDB. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN