PULAU PINANG 20 Dis. – Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Dr. P. Ramasamy menyifatkan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ‘menghina’ kebijaksanaan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam menentukan barisan Kabinetnya.
Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri II berkata, perkara itu berikutan tindakan Syed Saddiq yang didakwa turut menyokong desakan supaya P. Waytha Moorthy berundur sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Sambil menyelar keputusan itu, Ramasamy berkata, walaupun Waytha Moorthy bukan sebahagian daripada gabungan Pakatan Harapan (PH) tetapi beliau dilantik kerana sumbangan kepada masyarakat India.
“Meminta Wathya Moorthy meletakkan jawatan adalah penghinaan terhadap Dr. Mahathir kerana beliau yang melantiknya.
“Dengan kata lain, Armada Bersatu mempersoalkan keputusan dan kebijaksaan Pengerusinya sendiri iaitu Dr. Mahathir,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Difahamkan, beberapa pemimpin Armada bertemu Dr. Mahathir di pejabatnya sebelum mesyuarat Kabinet pagi semalam bagi menyerahkan memorandum menuntut peletakan jawatan Waytha Moorthy yang juga Pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf).
Memorandum itu juga difahamkan meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan terhadap Waytha Moorthy yang didakwa telah melanggar Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.
Desas-desus pertemuan itu timbul selepas beberapa pemimpin Armada memuat naik gambar bersama-sama Dr. Mahathir di pejabatnya dengan keratan memorandum yang dihantar.
Selain Syed Saddiq, turut kelihatan di dalam gambar yang tersebar itu ialah Ketua Penerangan, Ulya Aqamah Husamudin dan Exco Pendidikan, Mohd. Ashraf Mustaqim Badrul Munir. – UTUSAN ONLINE










