MUKADIMAH
Seperti bermusim. Selepas beberapa pemimpin UMNO di Sabah mengambil keputusan keluar parti secara beramai-ramai, enam ahli Parlimen UMNO di Semenanjung turut mengikut jejak langkah yang sama.
Tindakan mereka ini telah melukakan hati banyak pihak terutamanya golongan pengundi yang mengharapkan pembelaan dan penyatuan dalam kalangan orang Melayu.
Malah, apa yang mengejutkan, kepemimpinan UMNO turut dipersalahkan berhubung perkara itu. Bercakap mengenai perkara ini, wartawan AZMAN IBRAHIM menemu bual Ahli Majlis Tertinggi UMNO, DATUK SERI TAJUDDIN ABDUL RAHMAN yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak.
UTUSAN: Ada pihak yang menyalahkan kepemimpinan UMNO dan menuding jari kepada Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berhubung masalah ini. Apa pandangan Datuk Seri?
TAJUDDIN: Itu alasan mereka sahaja. Sebenarnya ada sebab-sebab mereka. Apa masalah UMNO sebenarnya sehingga mereka mahu keluar parti? Hala tuju UMNO sudah jelas iaitu persiapan untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15. Sementara itu kita buatlah kerja kita. Kalau semua hendak masuk kerajaan, ia bukan sebuah negara demokrasi lagi dan kita di negara ini tiada lagi semak dan imbang.
Kenapa perkara ini (keluar parti) berlaku sekarang dan tidak dari dahulu? Ia seolah-olah terancang kerana dilakukan secara beramai-ramai pada satu-satu masa.
TAJUDDIN: Ya. Mesti ada tukang perancangnya. Bulan 12 ini bagi mereka, mungkin adalah masa yang sesuai untuk keluar parti. Mesti ada dalang dan ketuanya. Tapi, masalahnya, ketua atau dalang ini tidak berani hendak tunjuk kepala. Saya cabar dalang itu, tunjukkan kepalanya secara terbuka. Dia ini hendak sangat ahli-ahli Parlimen UMNO keluar parti. Dia tidak tahu ramai yang pertikai tindakan keluar parti. Pengundi dan ahli-ahli UMNO sendiri tidak mahu ini terjadi dan mereka mahu Melayu bersatu.
Apakah langkah seterusnya yang perlu diambil oleh UMNO bagi memastikan isu ini terkawal?
TAJUDDIN: Beri penerangan kepada ahli akar umbi. Mereka kini keliru dan tidak mendapat gambaran sebenar. Macam-macam cerita yang keluar pada waktu ini dan ia perlu dijelaskan oleh pihak kepemimpinan termasuk daripada presiden, timbalan, naib-naib presiden, setiausaha agung, ketua penerangan dan ramai lagi. Beri penerangan sampai mereka faham. Perlu ada hubungan berterusan di antara pucuk kepemimpinan dengan akar umbi dan kita kena jadi pembangkang yang ikhlas dan kuat.
Datuk Seri Ahmad Zahid ada menyatakan bahawa kedudukannya hanya boleh ditentukan oleh dua pertiga majoriti dalam Perhimpunan Agung UMNO. Apa pandangan Datuk Seri?
TAJUDDIN: Ya, memang betul. Ia kena ada peraturan dan kita kena ikut Perlembagaan UMNO. Mana boleh kita mengikut emosi dan membuat desakan ikut kehendak sendiri. Jika ramai yang tidak berpuas hati, kita adakan sahaja semula Perhimpunan Agung UMNO untuk mendapatkan undi dua pertiga.
Berdasarkan keadaan semasa yang sukar dijangka, adakah Datuk Seri sendiri akan kekal bersama UMNO atau ada pertimbangan-pertimbangan lain?
TAJUDDIN: Saya tetap setia dengan UMNO. UMNO banyak berjasa kepada rakyat, bangsa dan agama. Apa dosa UMNO sehingga ramai yang hendak keluar parti? Yang berdosa adalah orang yang hendak hancurkan UMNO dan mereka ini adalah golongan yang lupakan daratan.
Sejak penubuhannya, UMNO banyak membangunkan sosio ekonomi, pendidikan dan pertumbuhan negara. Ia merupakan parti yang memperjuangkan kepentingan dan hak anak cucu kita. Jadi, kita jangan jadi golongan kacang lupakan kulit atau lupa daratan.










