Angkasa mahu bantu gerakan koperasi di negara Islam - Utusan Malaysia

Angkasa mahu bantu gerakan koperasi di negara Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 9 Dis. – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) mahu memainkan peranan penting dalam menggerakkan penubuhan koperasi di negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), sebagai medium baharu untuk menjana pendapatan dan keluar daripada kemiskinan.

Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, usaha itu mahu dilakukan dengan kerjasama Bank Pembangunan Islam (IDB) iaitu institusi yang mempunyai akses terbaik untuk memasuki negara-negara Islam.

Katanya, ketika ini hanya 20 daripada 57 negara OIC yang mempunyai gerakan koperasi secara aktif, manakala selebihnya masih memerlukan bantuan untuk membangunkan sektor koperasi.

“Koperasi adalah platform terbaik untuk mengatasi masalah ekonomi dan sosial di negara-negara Islam.

“Malah koperasi adalah entiti sosial dan ekonomi yang bersesuaian dengan konsep Islam kerana mengutamakan kerjasama dan pengagihan kekayaan secara adil,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika majlis makan malam sempena penganjuran Perbincangan Meja Bulat Angkasa-OIC 2018 bermula esok, di sini malam ini.

Abdul Fattah menjelaskan, penganjuran Perbincangan Meja Bulat Angkasa-OIC itu akan memberi penekanan tentang pentingnya gerakan koperasi kepada negara-negara Islam selain mendapatkan komitmen daripada IDB untuk menjayakan usaha tersebut.

Kata Abdul Fattah, Angkasa sendiri telah diminta oleh Pertubuhan Koperasi Sedunia (ICA) untuk membantu memperkenalkan koperasi di negara-negara Islam.-UTUSAN ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN