KUALA LUMPUR 10 Dis. – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dipilih oleh Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk menggerakkan pembangunan ekonomi negara-negara Islam melalui institusi koperasi.
Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Bank Pembangunan Islam (IDB) iaitu institusi yang mempunyai akses terbaik untuk memasuki negara-negara Islam bagi menjayakan inisiatif tersebut.
“Daripada 57 negara OIC, terdapat 37 negara yang tidak aktif institusi koperasinya dan kita percaya dengan kerjasama IDB inisiatif ini akan berjaya.
“Institusi koperasi adalah model sesuai untuk membangunkan ekonomi berbanding kapitalis. Banyak strategi yang boleh digunakan bagi membantu ahli koperasi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena penganjuran Perbincangan Meja Bulat Angkasa-OIC 2018 di sini hari ini.-UTUSAN ONLINE










