Anggota tentera ditahan bantu siasatan kes rogol - Utusan Malaysia

Anggota tentera ditahan bantu siasatan kes rogol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LAHAD DATU – Polis malam tadi menahan seorang anggota tentera bagi membantu siasatan selepas disyaki merogol seorang wanita di sebuah hotel di sini pada Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, suspek lelaki berusia 24 tahun yang berkhidmat di kem tentera di Sarawak itu ditahan di Ibu Pejabat Polis di sini pada pukul 9 malam.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan ke atas suspek berhubung dakwaan mangsa, 21 tahun yang dipercayai teman wanita suspek selama empat bulan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Berdasarkan siasatan awal, Nasri berkata, sehari sebelum kejadian suspek menghubungi mangsa untuk bertemu dan mangsa ketika itu sedang berehat di tempat kerja di sebuah pusat beli-belah di Kota Kinabalu.

“Selepas bertemu pada pukul 6.30 petang suspek kemudian membawa mangsa menaiki kereta menuju ke Stesen Bas Inanam dan suspek membeli tiket bas ke Lahad Datu.

“Mangsa merayu untuk dilepaskan suspek namun suspek bertindak menampar muka serta menumbuk perut mangsa dan sepanjang perjalanan ke Lahad Datu suspek turut mengugut mangsa akan dipukul sekiranya menangis,” katanya.

Di Lahad Datu, Nasri berkata, mangsa dibawa ke sebuah hotel dan dipaksa melakukan hubungan seks dan suspek dipercayai turut memukul mangsa bertubi-tubi di bahagian tangan, perut dan paha dalam kejadian pada pukul 3 pagi.

“Sehari selepas kejadian, mangsa dilepaskan suspek di pusat beli-belah di Sandakan dan mangsa diambil sepupunya,” katanya.

Menurut Nasri, selepas kejadian itu, mangsa dirujuk ke Hospital Lahad Datu dan doktor mengesahkan terdapat kesan koyakan baharu serta lebam baharu di tangan kiri dan kaki mangsa. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN