KOTA BHARU 10 Dis. – Seorang anggota polis berpangkat lans koperal cedera selepas dirempuh sebuah motosikal dipandu seorang pemuda yang cuba membolosi sekatan jalan raya di Jambatan Pok Nik Lah, Pengkalan Chepa, dekat sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, kejadian pada pukul 11.30 malam itu berlaku semasa anggota polis, Md. Faizal Md. Bakr berusia 34 tahun itu sedang bertugas dalam tugasan Op Lejang di lokasi kejadian.
“Suspek yang berusia 27 tahun menunggang motosikal dari arah Binjai ke Pengkalan Chepa terkejut selepas melihat sekatan jalan raya dan cuba mengelak daripada diperiksa dengan membuat pusingan U dan menunggang secara laju sehingga melanggar mangsa.
“Pemeriksaan lanjut ke atas suspek menemui dua pil dipercayai dadah jenis erimin 5 dalam poket seluar hadapan sebelah kanan yang dipakainya,” katanya, di sini hari ini.
Abdul Rahim berkata, mangsa yang mengalami kecederaan di kepala dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian manakala suspek yang turut cedera di kepala dan patah jari telunjuk tangan kanan dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab untuk rawatan.
“Kita turut menahan suspek untuk siasatan lanjut kerana mencederakan polis dan memiliki dadah,”katanya. – UTUSAN ONLINE










