SHAH ALAM 10 Dis. – Anak syarikat negeri Selangor, Worldwide Holdings Berhad akan membangun loji sistem pelupusan dan rawatan sisa pepejal bernilai RM500 juta di Jeram, Selangor.
Loji tersebut yang akan dibina di pusat pelupusan sampah sedia ada Worldwide Holdings di Jeram akan membolehkannya memproses sisa pepejal dan menukarnya kepada haba, stim serta tenaga elektrik.
Pembangunan projek itu dibuat secara kerjasama dengan syarikat China, Wastern Power Clean Energy Sdn. Bhd dan akan menjadikan Worldwide Holdings peneraju dalam industri tersebut di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Worldwide Holdings, Datin Norazlina Zakaria berkata, projek berkenaan akan dibuat secara dua fasa dengan fasa pertama dijangka siap beroperasi menjelang 2022, manakala fasa kedua pada 2024.

“Dengan kapasiti sampah sebanyak 1,000 tan metrik sehari, fasa pertama kemudahan ini akan menghasilkan antara 20 hingga 25 megawatt (MW) tenaga hijau, cukup untuk menguasai 25,000 isi rumah di sekitar kawasan Jeram,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu satu majlis perjanjian persefahaman pembangunan projek itu ditandatangani di antara Worldwide Holdings dengan Western Power Clean Energy dengan disaksikan Menteri Besar, Amirudin Shari. – UTUSAN ONLINE










